Skip to main content

Dunia

Taufan Noul melemah selepas badai selatan China

Anggaran Waktu Membaca:
Taufan Noul melemah selepas badai selatan China

Bot-bot nelayan berlindung di sebuah pelabuhan di Zon Kerjasama Khas Shenzhen-Shanwei, Wilayah Guangdong, menjelang ketibaan Taufan Noul pada Sabtu (25 Jul). (Gambar: Xinhua/AP)

Diterbitkan : 26 Jul 2026 06:36PM
HONG KONG: Taufan Noul melemah menjadi ribut tropika pada Ahad (26 Jul) selepas membadai pesisir selatan China, namun hujan lebat masih dijangka melanda beberapa kawasan di negara itu.

Pihak berkuasa cuaca China menjangkakan hujan lebat akan terus melanda beberapa kawasan di selatan Guangdong dan tenggara Fujian.

Menurut agensi berita Xinhua, lebih 801,000 penduduk di Wilayah Guangdong telah dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Di Hong Kong, kira-kira 350 penerbangan dibatalkan pada Ahad (26 Jul), manakala sekitar 2,000 penumpang terkandas di lapangan terbang sepanjang hujung minggu.

Pihak berkuasa Hong Kong turut memaklumkan sekurang-kurangnya 21 orang cedera sepanjang tempoh taufan melanda.

Kementerian Sumber Air China meningkatkan tahap tindak balas kecemasan banjir berikutan risiko tinggi kejadian banjir kilat di kawasan pergunungan, termasuk di Guangdong.

Sementara itu, Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara China memperuntukkan 100 juta yuan bagi membantu usaha pemulihan di kawasan yang terjejas akibat taufan.

Noul merupakan taufan ketiga melanda China dalam tempoh sebulan, selepas Taufan Bavi dan Taufan Maysak.

Media rasmi China melaporkan Noul juga merupakan taufan paling kuat melanda negara itu setakat tahun ini.

Sebelum ini, sekurang-kurangnya tiga orang maut di Filipina akibat banjir dan hujan lebat yang dibawa Taufan Noul, manakala beberapa kawasan di Taiwan turut menerima hujan lebat ketika taufan itu bergerak ke selatan pulau berkenaan.
Sumber : AP/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita