Skip to main content

Dunia

Taufan Noul cetus hujan lebat, banjir di selatan China

Anggaran Waktu Membaca:
Taufan Noul cetus hujan lebat, banjir di selatan China

Pekerja pembersihan mengalihkan dahan dan daun berguguran di sebuah jalan raya di Shenzhen selepas Taufan Noul melanda bandar itu pada Ahad (26 Jul). (Gambar: CNA/Lan Yu)

Diterbitkan : 26 Jul 2026 10:27PM Dikemas Kini : 26 Jul 2026 10:30PM
HONG KONG: Hujan lebat hingga sangat lebat dijangka terus melanda sebahagian besar selatan China dalam tempoh dua hari akan datang selepas Taufan Noul membadai Wilayah Guangdong dan Hong Kong.

Pihak berkuasa China mengeluarkan amaran merah, iaitu tahap tertinggi, bagi risiko banjir kilat di beberapa wilayah selepas taufan paling kuat melanda negara itu tahun ini memaksa lebih 700,000 penduduk di Guangdong dipindahkan.

Amaran itu meliputi beberapa kawasan di Jiangxi, Hunan, Guangdong, Sichuan, Shaanxi, Gansu dan tenggara Xinjiang sehingga Isnin (27 Jul).

Pihak berkuasa turut menggesa penduduk supaya memantau perkembangan cuaca dan mematuhi arahan pemindahan bagi mengelakkan risiko banjir.

Taufan Noul membadai Daerah Huidong di Guangdong pada awal pagi Ahad (26 Jul) sebelum menuju ke kawasan pedalaman.

Menurut media rasmi China, hujan lebat dijangka berterusan sehingga Selasa (28 Jul), dengan beberapa kawasan termasuk Wilayah Fujian berisiko mengalami hujan yang amat lebat.

Pihak berkuasa turut mengarahkan pemerintah tempatan meningkatkan pemantauan di kawasan berisiko tinggi seperti kawasan pergunungan, sungai, tapak binaan, lembah dan jambatan.

Di Hong Kong, balai cerap tempatan memaklumkan Noul semakin melemah selepas bergerak ke pedalaman, namun angin kencang masih melanda beberapa kawasan.
Related article image
Orang ramai berjalan di pantai yang dipenuhi sisa Taufan Noul selepas taufan itu melintasi berhampiran Hong Kong pada Ahad (26 Jul). (Gambar: AFP/Peter Parks)
Semua amaran taufan ditamatkan pada Ahad (26 Jul) petang, manakala operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong disambung semula secara berperingkat selepas tergendala lebih 12 jam.
Sekurang-kurangnya 350 penerbangan dibatalkan di Hong Kong, manakala 20 penerbangan antara Singapura dengan Hong Kong dan Shenzhen turut dibatalkan pada Ahad (26 Jul).
Sumber : Reuters/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita