Taufan Noru badai Filipina, sekolah ditutup dan bekalan elektrik terputus

(Gambar: Ted ALJIBE / AFP)
MANILA: Presiden Filipina, Ferdinand Marcos mengarahkan pejabat pemerintah digantung manakala sekolah ditutup pada Isnin (26 Sep) susulan ribut tropika kategori tiga melanda pulau utama Luzon selepas membadai timur laut ibu kota Manila, lapor Reuters.
Hampir 8,400 penduduk sudah dipindahkan terlebih dahulu dari laluan Taufan Noru yang semakin lemah dengan kelajuan angin mencapai 175 kilometer sejam (kmj).
Ribut itu, yang paling kuat melanda Filipina tahun ini, mempunyai kelajuan angin sehingga 290kmh apabila membadai negara itu, menurut agensi kaji cuaca negara dalam amaran terbarunya.
Bencana itu turut menyebabkan penerbangan dibatalkan manakala khidmat feri dan bas digantung akibat hujan lebat dan angin kencang yang menumbangkan pokok dan memutuskan bekalan elektrik.
Encik Marcos juga menggantung sekolah dan pejabat pemerintah di Luzon yang menyumbang lebih daripada dua pertiga daripada ekonomi Filipina dan hampir separuh daripada 110 juta penduduk negara itu.
Kementerian tenaga kuasa meletakkan semua kemudahan berkaitan tenaga di kawasan yang dilanda taufan di tahap berjaga-jaga yang tinggi, kata Encik Marcos di Facebook.
Ombak besar dicetuskan kategori tiga itu menjejas kegiatan pelabuhan dan banjir kilat di kawasan rendah.
Noru datang sembilan bulan selepas satu lagi taufan besar memusnahkan sebahagian besar negara itu, membunuh lebih 400 orang dan menyebabkan ratusan ribu kehilangan tempat tinggal.
Filipina disenaraikan antara negara yang paling terdedah kepada kesan perubahan iklim, dilanda purata 20 ribut setiap tahun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.