Taufan Mangkhut mengganas di China selepas membadai Filipina, Hong Kong
Taufan ganas membadai wilayah Guangdong semalam (16 Sep), iaitu wilayah dengan jumlah penduduk yang paling ramai di China, mengorbankan sekurang-kurangnya dua orang dan menyebabkan berjuta-juta penduduk terpaksa berpindah ke tempat yang lebih selamat.
GUANGZHOU: Taufan ganas membadai wilayah Guangdong semalam (16 Sep), iaitu wilayah dengan jumlah penduduk yang paling ramai di China, mengorbankan sekurang-kurangnya dua orang dan menyebabkan berjuta-juta penduduk terpaksa berpindah ke tempat yang lebih selamat.
Taufan Mangkhut yang dikenali sebagai 'Raja Segala Ribut' dalam kalangan media China mengganas di bandar Haiyan pada pukul 5.00 petang selepas membadai Hong Kong dan Macau dan meragut nyawa lebih 50 penduduk di Filipina.
Pelabuhan, loji penapisan minyak dan kilang-kilang di Guangdong sudahpun ditutup. Bekalan tenaga bagi sesetengah kawasan juga sudah dikurangkan sebagai langkah berjaga-jaga.
Di Shenzhen, bekalan elektrik bagi lebih 130,000 rumah terputus semalam.
Ia juga mencetuskan kebimbangan mengenai penghasilan gula di Guangdong, yang membentuk sekitar 10 peratus hasil negara, dengan sumbangan satu juta tan. Pasaran gula China menyaksikan peningkatan harga pada minggu lalu disebabkan oleh kebimbangan tersebut.
Guangdong adalah wilayah dengan jumlah penduduk yang paling ramai di China, dengan bilangan penduduknya melebihi 100 juta orang.
Menurut laporan media tempatan, dua orang terbunuh di Guangdong akibat taufan tersebut.
Lebih 2.45 juta penduduk dipindahkan ke tempat-tempat selamat dan 48,000 bot nelayan sudah dibawa pulang ke pelabuhan, sementara kerja-kerja binaan di lebih 29,000 tapak binaan sudah digantung.
Lapangan terbang Shenzhen yang ditutup sejak tengah malam akan terus ditutup sehingga pukul 8.00 pagi Isnin (waktu tempatan).
Penerbangan-penerbangan di Guangzhou dan pulau Hainan di bahagian paling selatan China juga sudah dibatalkan.
Dengan tiupan angin sekencang 200km/sejam, Taufan Mangkhut disifatkan sebagai taufan paling ganas melanda rantau tersebut pada tahun ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.