Skip to main content

Dunia

Taufan Koji diturun taraf kepada ribut selepas landa timur laut Australia, amaran banjir dikeluarkan

Taufan Koji melintasi pantai timur laut Australia pada Ahad (11 Jan) sebelum diturunkan taraf kepada ribut tropika, namun pihak berkuasa memberi amaran berhubung angin yang merosakkan serta kemungkinan banjir.
Anggaran Waktu Membaca:
Taufan Koji diturun taraf kepada ribut selepas landa timur laut Australia, amaran banjir dikeluarkan
Ramalan pergerakan Koji. (Laman web Biro Meteorologi Australia)
SYDNEY: Taufan Koji melintasi pantai timur laut Australia pada Ahad (11 Jan) sebelum diturunkan taraf kepada ribut tropika, namun pihak berkuasa memberi amaran berhubung angin yang merosakkan serta kemungkinan banjir.

Taufan kategori satu, Koji, melintasi pantai di antara bandar Ayr dan Bowen di wilayah Queensland, kira-kira 500 kilometer di utara ibu negeri Brisbane.

Koji sudah “melemah di bawah tahap taufan tropika”, menurut badan ramalan cuaca negara itu dalam satu kenyataan di laman webnya.

Ia menyatakan sistem tersebut kini menjadi ribut tropika rendah, membawa tiupan angin sehingga 95 kilometer sejam serta hujan lebat di kawasan antara bandar Ayr dan Mackay, sebuah hab pelancongan dan pintu masuk ke Great Barrier Reef.

Koji masih boleh mencetuskan “banjir kilat yang berbahaya dan mengancam nyawa” di rantau tersebut, menurut biro kaji cuaca.

Perdana Menteri Anthony Albanese berkata Koji “dijangka membawa jumlah hujan yang besar ke kawasan pesisir di utara Queensland dan berkemungkinan ke kawasan pedalaman”.

“Banjir kilat merupakan risiko utama di sepanjang pantai Queensland yang luas,” kata Encik Albanese dalam kenyataan yang disiarkan di televisyen.

Premier wilayah Queensland, David Crisafulli, berkata taufan itu sudah membawa hujan sehingga 200 milimeter ke beberapa kawasan semalaman dan dijangka mengakibatkan hujan lebat dalam tempoh 24 hingga 48 jam akan datang.

“Saya benar-benar percaya bahawa orang ramai telah membuat persiapan yang amat baik untuk menghadapi hujan yang bakal turun,” kata Encik Crisafulli di platform media sosial X.

Lapangan Terbang Townsville, yang ditutup pada Sabtu sebagai langkah berjaga-jaga, menyatakan di Facebook bahawa ia merancang untuk dibuka semula pada Ahad “jika keadaan keselamatan dan cuaca mengizinkan”.

Kedatangan Koji berlaku selepas wilayah berkenaan dilanda Alfred pada Mac lalu, sebuah taufan tropika yang diturunkan tarafnya, yang membawa angin kencang dan hujan lebat, sehingga memutuskan bekalan elektrik ratusan ribu penduduk.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita