Skip to main content

Dunia

Taufan Kalmaegi badai Vietnam selepas ragut 140 nyawa di Filipina

Anggaran Waktu Membaca:
Taufan Kalmaegi badai Vietnam selepas ragut 140 nyawa di Filipina

Seorang pekerja membersihkan kaca pecah di sebuah hotel berhampiran pantai Quy Nhon ketika Taufan Kalmaegi melanda wilayah Gia Lai di Vietnam pada 6 November 2025. (Gambar: AFP/Nhac Nguyen)

HOI AN: Taufan Kalmaegi melanda Vietnam pada Khamis (6 Nov), memaksa pihak berkuasa membatalkan beratus-ratus penerbangan dan mengarahkan orang ramai supaya duduk di rumah, dua hari selepas ribut itu mula melanda Filipina dan menyebabkan sekurang-kurangnya 140 orang maut.

Kalmaegi - dengan angin sekencang 149 kilometer sejam (km/j), menurut ramalan jabatan kaji cuaca negara itu - menyebabkan bumbung rumah tercabut, menumbangkan pokok dan tiang talian telefon.

Ia juga menyebabkan pukulan ombak setinggi 10 meter semasa ia melanda kawasan pantai di wilayah tengah, menurut agensi berkenaan.

Pihak berkuasa menutup enam lapangan terbang, dan pemerintah menyatakan lebih 260,000 orang di wilayah Gia Lai sudah dipindahkan ke tempat selamat.

Kalmaegi merupakan ribut ke-13 yang melanda Vietnam tahun ini, dan antara yang paling dahsyat.

Pemerintah menyatakan lebih 268,000 askar diletakkan dalam keadaan siap siaga untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Ia memberi amaran tentang kemungkinan berlaku banjir di kawasan rendah serta kesan terhadap pertanian.

PELADANG BIMBANG KESAN TERHADAP TANAMAN

Apabila ribut semakin hampir, hotel dan rumah di pantai Cua Dai berhampiran bandar purba Hoi An, yang disenaraikan UNESCO, ditutup.

Berhampiran bandar tepi pantai Hue, para peladang masih lagi pulih daripada kesan banjir minggu ini yang mengorbankan 47 orang.

Peladang Nguyen Van Rin, 42 tahun, berkata banjir sebelum ini menenggelamkan ternakan dan ayam itiknya.

“Kalmaegi akan menenggelamkan kami untuk kali keempat, dan saya bimbang ia akan menjadi sangat teruk,” katanya selepas mengemudi botnya merentasi jalan raya sedang kenderaan bergerak perlahan di dalam air.

RUMAH MUSNAH, KENDERAAN TERBALIK

Di Filipina, tahap kemusnahan akibat Kalmaegi menjadi lebih jelas pada Khamis apabila air banjir mula surut di wilayah Cebu yang paling teruk terjejas.

Rumah-rumah musnah, kenderaan terbalik dan jalan-jalan pula dipenuhi serpihan.

Sebanyak 127 orang masih dilaporkan hilang setakat sehingga lewat Khamis, dan usaha mengagihkan bantuan serta mencari mayat dihambat oleh kemusnahan akibat Kalmaegi, ribut ke-20 yang melanda Filipina tahun ini.

“Cabaran sekarang ialah membersihkan serpihan ... Ia perlu dilakukan segera, bukan sahaja untuk mencari mangsa yang mungkin tertimbus atau selamat, tetapi juga untuk membolehkan operasi bantuan dijalankan,” kata Encik Raffy Alejandro, seorang pegawai kanan pertahanan awam, kepada radio DZBB.

Kemusnahan akibat taufan di Cebu berlaku hanya lebih sebulan selepas gempa bumi berukuran 6.9 magnitud melanda pulau pelancongan itu, mengorbankan berpuluh-puluh orang dan memindahkan beribu-ribu penduduk.

Ahli ramalan cuaca juga sedang memantau satu lagi ribut di timur pulau Mindanao, Filipina, yang dijangka boleh bertukar menjadi taufan dan melanda negara itu pada awal minggu depan.

"ANAK-ANAK SAYA TIADA APA-APA LAGI”

Beberapa penduduk di Cebu pulang pada Khamis dan mendapati rumah mereka musnah, manakala yang lain mula membersihkan kawasan serta lumpur dari rumah dan jalan.

“Semuanya musnah. Hanya lantai yang tinggal. Semuanya hanyut. Kami tiada apa-apa lagi,” kata Liza Becus ketika kembali ke pondok kecilnya di Talisay City, Cebu.

Beliau mengumpul besi dan kepingan logam untuk dijual supaya dapat membeli beras bagi mengisi perut tujuh orang anaknya.

“Anak-anak saya tiada apa-apa lagi,” katanya. “Pakaian seragam, beg sekolah, dan semua barangan kami sudah tiada," tambahnya.
Sumber : Reuters/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita