Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Taufan Ida: 8 maut di New York, 1 di New Jersey

Sekurang-kurangnya lapan maut di New York selepas bandar itu dilanda banjir kilat, kata polis pada Khamis (2 Sep) sedang Taufan Ida membadai timur laut Amerika Syarikat menyebabkan lapangan terbang terpaksa ditutup dan darurat diisytiharkan di New York serta New Jersey.

Anggaran Waktu Membaca:
Taufan Ida: 8 maut di New York, 1 di New Jersey

Kesan banjir di Bronx, New York pada 1 Sep 2021 susuli hujan lebat yang dibawa Taufan Ida. (Gambar: David Dee Delgado/GETTY IMAGES NORTH AMERICA/Getty Images menerusi AFP)

Diterbitkan : 02 Sep 2021 08:55PM Dikemas Kini : 02 Sep 2021 09:00PM

NEW YORK: Sekurang-kurangnya lapan maut di New York selepas bandar itu dilanda banjir kilat, kata polis pada Khamis (2 Sep) sedang Taufan Ida membadai timur laut Amerika Syarikat menyebabkan lapangan terbang terpaksa ditutup dan darurat diisytiharkan di New York serta New Jersey.

Gabenor New York, Kathy Hochul, mengisytiharkan darurat apabila ribut itu mengakibatkan banjir teruk yang turut menenggelami Brooklyn dan Queens.

Gabenor wilayah Phil Murphy juga mengisytiharkan darurat di New Jersey, di mana CNN melaporkan sekurang-kurangnya seorang terbunuh di bandar Passaic, menjadikan angka korban Taufan Ida mencecah 16 mangsa, setakat ini.

"Kami sedang mengalami curahan hujan bersejarah malam ini di merata bandar, banjir besar dan keadaan di jalan raya amat berbahaya," kata Datuk Bandar New York Phil Murphy di Twitter.

Ratusan penerbangan dibatalkan di Lapangan Terbang Newark, LaGuardia dan JFK, manakala jalan raya utama di metropolis itu termasuk Manhattan, The Bronx dan Queens terpaksa ditutup akibat banjir.

Terdahulu, bandar itu mengeluarkan amaran kecemasan banjir kilat sambil menggesa penduduk supaya berpindah ke kawasan tanah lebih tinggi.

"Banjir kilat yang besar dan mengancam nyawa berkemungkinan melanda dari Mid-Atlantic hinggalah ke New England," menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan dalam satu buletin sambil memberi amaran hujan lebat bakal membadai wilayah terbabit.

Di Annapolis yang terletak kira-kira 50 kilometer dari ibu kota AS, puting beliung turut mengakibatkan pokok dan tiang elektrik tumbang.

Presiden Joe Biden dijadual melakukan lawatan ke Louisiana esok, di mana Ida telah memusnahkan bangunan dan menyebabkan lebih sejuta rumah tanpa bekalan elektrik. 

Sumber : AFP/SU/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan