Skip to main content

Dunia

Taufan Fung-Wong landa Filipina; hampir sejuta penduduk dipindahkan

Taufan Fung-Wong melanda pantai timur Filipina pada Ahad malam (9 Okt) menyebabkan kematian sekurang-kurangnya dua orang dan memaksa lebih sejuta penduduk meninggalkan kediaman mereka.
Anggaran Waktu Membaca:
Taufan Fung-Wong landa Filipina; hampir sejuta penduduk dipindahkan
Seorang lelaki berjalan dalam hujan sambil memegang payung ketika Taufan Fung-Wong menghampiri, di Cauayan, Isabela, Filipina. (Gambar: REUTERS)
AURORA: Taufan Fung-Wong melanda pantai timur Filipina pada Ahad malam (9 Okt) menyebabkan kematian sekurang-kurangnya dua orang dan memaksa lebih sejuta penduduk meninggalkan kediaman mereka.

Taufan yang dikenali secara tempatan sebagai 'Uwan' itu mula membadai wilayah Aurora di pulau utama Luzon pada [ukul 9.10 malam waktu tempatan, dengan kelajuan angin mencecah antara 185 km/j hingga 230 km/j.

Jabatan Meteorologi Filipina (PAGASA) memberi amaran bahawa hujan lebat melebihi 200mm dalam tempoh 24 jam dijangka berlaku, meningkatkan risiko banjir besar dan tanah runtuh, seperti dilapor Astro Awani.

Gelombang ribut dan angin kencang menyebabkan gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan, manakala operasi pemindahan besar-besaran dijalankan di wilayah berisiko tinggi termasuk Catanduanes dan Albay.

Seorang wanita berusia 64 tahun dilaporkan maut akibat pokok tumbang semasa cuba menyelamatkan diri, menurut laporan Astro Awani.

Presiden Ferdinand Marcos Jr mengisytiharkan darurat di beberapa wilayah terjejas, sambil menyeru penduduk agar mematuhi arahan pemindahan awal bagi mengelakkan operasi menyelamat saat akhir yang berisiko tinggi kepada pasukan keselamatan.

Taufan Fung-Wong merupakan ribut ke-21 yang melanda Filipina tahun ini, dan yang paling besar setakat ini, dengan jalur hujan dan angin seluas hampir 1,600km yang mampu menutupi dua pertiga negara kepulauan itu, seperti dilapor Astro Awani.

Kejadian itu berlaku hanya beberapa hari selepas Taufan Kalmaegi mengorbankan lebih 200 nyawa di wilayah tengah Filipina.

Pihak berkuasa kini memberi tumpuan kepada usaha bantuan dan pemulihan, sambil memantau kemungkinan gelombang susulan dan keadaan cuaca ekstrem yang berterusan.
Sumber : Agensi berita/HA/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita