Skip to main content

Dunia

Taufan Dolphin landa selatan Jepun; lebih 50,000 bangunan terputus bekalan elektrik

Anggaran Waktu Membaca:
Taufan Dolphin landa selatan Jepun; lebih 50,000 bangunan terputus bekalan elektrik

Seorang individu berjalan dalam hujan ketika Taufan Dolphin menghampiri Naha, Jepun, pada 7 Ogos 2026. (Gambar: AP/NTV-NNN)

Diterbitkan : 08 Aug 2026 04:43PM
TOKYO: Taufan Dolphin membadai wilayah Okinawa di selatan Jepun pada Sabtu (8 Ogos), menyebabkan enam orang cedera dan lebih 50,000 bangunan terputus bekalan elektrik, sedang China meningkatkan persiapan menjelang ketibaan taufan itu di pantai timurnya.

Menurut pihak berkuasa, lima warga emas mengalami kecederaan yang tidak mengancam nyawa di Okinawa, termasuk tiga yang terjatuh akibat angin kencang.

Seorang lagi dilaporkan cedera di wilayah Kagoshima.

Hampir 39,000 bangunan terputus bekalan elektrik di Kagoshima, manakala lebih 12,000 lagi bangunan terjejas di Okinawa.

Syarikat penerbangan domestik ANA dan Japan Airlines turut membatalkan penerbangan ke dan dari Okinawa.

Menurut Agensi Meteorologi Jepun, Taufan Dolphin berada sekitar 160 kilometer ke barat laut Pulau Kume di Okinawa pada 11.00 pagi waktu Singapura dan bergerak ke arah barat laut pada kelajuan 15 kilometer sejam.

Taufan itu membawa angin berterusan maksimum 162 kilometer sejam, dengan tiupan angin kadangkala mencecah 216 kilometer sejam.

Okinawa dan Pulau Amami di wilayah Kagoshima dijangka menjadi kawasan utama yang terjejas di Jepun.

CHINA TINGKAT PERSIAPAN

Di China, Taufan Dolphin dijangka membadai antara bandar Zhoushan di wilayah Zhejiang dengan bandar Fuding di wilayah Fujian antara lewat Ahad (9 Ogos) hingga awal Isnin (10 Ogos).

Pihak berkuasa China menetapkan Dolphin sebagai taufan kategori jingga, iaitu tahap kedua tertinggi.

Tahap tindak balas kecemasan terhadap taufan itu turut dinaikkan kepada Tahap III berikutan kebimbangan mengenai risiko banjir dan tanah runtuh.

Hujan dan angin kencang dijangka melanda timur China sehingga Rabu (12 Ogos), termasuk beberapa bahagian Shanghai dan wilayah berdekatan.

Beberapa kawasan di timur Zhejiang boleh menerima hujan melebihi 600 milimeter.

Zhejiang menaikkan amaran taufan di kawasan pantainya ke tahap tertinggi, menghentikan operasi pelabuhan dan menggantung 162 laluan feri penumpang.

Lapangan Terbang Antarabangsa Ningbo Lishe pula akan menghentikan operasi mulai 11.30 malam pada Sabtu dan menggantung semua penerbangan pada Ahad.

Beberapa perkhidmatan kereta api di kawasan Delta Sungai Yangtze turut akan digantung mulai Ahad.

78 PENERBANGAN DIBATALKAN DI TAIWAN

Di Taiwan, 78 penerbangan antarabangsa dibatalkan akibat Taufan Dolphin.

Hujan lebat dijangka melanda bahagian utara Taiwan pada hujung minggu, namun tiada arahan pemindahan dikeluarkan setakat Sabtu (8 Ogos).

China turut mengarahkan kapal yang melalui Selat Taiwan supaya mematuhi arahan kawalan trafiknya berikutan taufan itu, namun langkah tersebut dibantah Taipei.

China menganggap Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya dan turut menuntut Selat Taiwan. Taipei dan Washington menolak tuntutan tersebut.
Sumber : Reuters/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita