Taufan Dolphin dijangka badai pantai timur China, amaran banjir dikeluarkan
Taufan Dolphin dijangka membadai pantai timur China pada Ahad malam (9 Ogos), membawa hujan lebat dan angin kencang, sedang pihak berkuasa bersiap sedia menghadapi banjir dan tanah runtuh di sebahagian besar timur negara itu.
Seorang penumpang berjalan melepasi tingkap kaca yang ditampal pita pelekat di ruang menunggu sementara di stesen kereta api Hangzhou, wilayah Zhejiang di timur China, pada 9 Ogos 2026, sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi Taufan Dolphin. (Gambar: CN-STR/AFP)
Taufan Dolphin sebelum ini melanda wilayah Okinawa di selatan Jepun, mencederakan enam orang dan memutuskan bekalan elektrik lebih 50,000 bangunan. Sebelum taufan itu membadai China, pihak berkuasa memindahkan para pekerja luar pesisir ke tempat selamat, mengarahkan kapal kembali ke pelabuhan dan meningkatkan pemeriksaan di takungan air, anak sungai pergunungan, kawasan yang terdedah kepada tanah runtuh, tapak pembinaan dan lokasi pelancongan.
Ribut itu dijangka membadai pantai lewat Ahad hingga Isnin dengan angin berterusan pada kelajuan sehingga 162 kilometer sejam, sebelum melemah dan bergerak ke kawasan pedalaman, menurut Pusat Meteorologi Nasional China. Ia bersamaan dengan ribut Kategori Dua pada Skala Angin Taufan Saffir-Simpson, yang mampu menyebabkan kerosakan besar pada rumah, pokok dan prasarana.
Hujan lebat berterusan diramalkan sehingga 10 Ogos di Zhejiang, Shanghai, utara Fujian, timur laut Jiangxi, tengah dan selatan Anhui serta sebahagian besar Jiangsu. Beberapa kawasan di tengah dan timur Zhejiang mungkin menerima hujan antara 250 milimeter hingga 500 milimeter, menurut peramal cuaca.
Selepas membadai daratan, Dolphin diramalkan bergerak ke arah barat sebelum menjadi perlahan di tengah dan barat daya China sebelum kehilangan kekuatannya secara beransur-ansur, kata ketua peramal Pusat Meteorologi Nasional Wang Haiping kepada penyiar negara CCTV.
Keadaan tersebut boleh menyebabkan hujan lebat berlarutan dan meningkatkan risiko banjir serta tanah runtuh, terutama di kawasan pergunungan dan sepanjang sungai-sungai kecil.
Kementerian Sumber Air berkata Sungai Qiantang, Yong, Jiao dan Shuiyang mungkin mengalami banjir besar, manakala sungai-sungai kecil di kawasan paling teruk terjejas mungkin melepasi paras amaran.
China mengekalkan Tahap III tindak balas kecemasan banjir di Zhejiang dan Fujian, dan Tahap IV di Jiangsu dan Anhui. Kementerian Pengurusan Kecemasan menyatakan ia sudah mengerahkan pasukan ke Zhejiang dan Fujian.
Sistem kecemasan empat tahap China menetapkan Tahap I sebagai yang paling serius.
Kementerian Sumber Asli turut menetapkan tindak balas bencana geologi Tahap III di Zhejiang dan Tahap IV di Anhui, sambil memberi amaran mengenai tanah runtuh dan bahaya lain di timur Zhejiang dan barat Anhui.
Pihak berkuasa memberi amaran berhubung risiko tinggi bencana geologi di beberapa kawasan di Zhejiang, dengan para penduduk di kawasan yang dikenakan amaran merah banjir kilat di kawasan pergunungan diminta untuk mematuhi arahan pemindahan pihak berkuasa tempatan.
Pelabuhan Yangshan di Shanghai mengosongkan kapal dari dermaga dan memindahkan lebih 500 kapal kecil dan sederhana ke tempat perlindungan menjelang ketibaan Dolphin, menurut pentadbiran keselamatan maritim bandar tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.