Skip to main content

Dunia

Taufan Dolphin bawa hujan lebat ke China, sekolah dan tempat pelancongan ditutup

Anggaran Waktu Membaca:
Taufan Dolphin bawa hujan lebat ke China, sekolah dan tempat pelancongan ditutup

Kemusnahan di Wenzhou, wilayah Zhejiang di timur China, susulan Taufan Dolphin yang melanda kawasan itu pada 10 Ogos 2026. (Gambar: AP)

Diterbitkan : 12 Aug 2026 09:49AM
  • Sisa Taufan Dolphin menyebabkan hujan lebat dan angin kencang di utara serta timur China, memaksa Beijing dan wilayah lain mengaktifkan pelan kecemasan banjir.
  • Pusat Meteorologi Kebangsaan China mengeluarkan amaran jingga, manakala sekolah, tapak pembinaan dan kawasan pelancongan ditutup untuk keselamatan.
  • Ribut Tropika Chan-hom pula menghampiri Jepun, dengan amaran hujan lebat dan gangguan pengangkutan di Tokyo dan Kanto.
  • Di Filipina, 26 kematian dilaporkan akibat monsun barat daya dan taufan tropika, kebanyakannya akibat tanah runtuh di Cordillera.
Dijana oleh AI
ISLAMABAD: Sisa Taufan Dolphin terus membawa hujan lebat dan angin kencang di seluruh utara dan timur China pada Selasa (11 Ogos), sekali gus mencetuskan langkah kecemasan di Beijing serta beberapa wilayah meskipun ribut itu tidak lagi diklasifikasikan sebagai taufan, lapor Agensi Anadolu (AA) yang memetik media tempatan.

Pusat Meteorologi Kebangsaan China mengeluarkan amaran jingga bagi hujan lebat dan memberi amaran bahawa sesetengah kawasan dijangka menerima taburan hujan antara 250 hingga 300 milimeter, lapor Global Times yang memetik CCTV.

Beijing mengaktifkan pelan tindak balas kecemasan kawalan banjir Tahap 2 dan mengarahkan pemindahan di kawasan yang terdedah kepada banjir dan tanah runtuh.

Kerja-kerja pembinaan digantung, manakala tapak perkhemahan di kawasan tanah tinggi dan tempat tarikan pelancong ditutup.

Bermula Rabu (12 Ogos), sekolah berkemungkinan menangguhkan sesi persekolahan serta kegiatan pengajaran dan latihan di luar bilik darjah, manakala acara sukan luar juga akan dihentikan.

Pihak berkuasa turut merancang pelaksanaan waktu kerja fleksibel serta penyesuaian terhadap lalu lintas dan pengangkutan awam.

Pegawai memberi amaran mengenai risiko banjir kilat, tanah runtuh dan banjir bandar apabila sisa Taufan Dolphin bercampur dengan udara sejuk.

Hujan lebat diramalkan melanda Beijing, Hebei, Henan, Shandong dan beberapa wilayah lain.

Sementara itu, Ribut Tropika Chan-hom semakin menghampiri Jepun dan dijangka menjejas Tokyo serta kawasan lebih luas di wilayah Kanto pada malam Selasa (11 Ogos).

Pihak berkuasa memberi amaran mengenai hujan lebat, angin kencang dan ombak tinggi yang boleh mengganggu sistem pengangkutan, menurut NHK.

Di Filipina, jumlah kematian akibat angin monsun barat daya yang semakin kuat serta taufan tropika baru-baru ini meningkat kepada 26 orang, merangkumi 25 orang awam dan seorang pegawai polis, lapor ABS-CBN News yang memetik Polis Kebangsaan Filipina.

Sebanyak 16 kematian direkodkan di wilayah Cordillera, kesemuanya akibat kejadian tanah runtuh di bandar Baguio dan Benguet.
Sumber : Bernama/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita