Skip to main content

Dunia

Taufan Dolphin badai timur China; 8 penerbangan SIA ke, dari Shanghai dibatalkan

Anggaran Waktu Membaca:
Taufan Dolphin badai timur China; 8 penerbangan SIA ke, dari Shanghai dibatalkan

Seorang penumpang berjalan melewati tingkap kaca yang dilekatkan pita pelekat di ruang menunggu sementara di stesen kereta api Hangzhou, wilayah Zhejiang, timur China, pada 9 Ogos 2026 sebagai langkah berjaga-jaga terhadap Taufan Dolphin. (Gambar: CN-STR/AFP)

Diterbitkan : 09 Aug 2026 09:18PM
  • Taufan Dolphin melanda pantai timur China pada 9 Ogos, membawa hujan lebat dan angin kencang serta menyebabkan risiko banjir dan tanah runtuh di beberapa wilayah.
  • Pihak berkuasa China memindahkan pekerja, mengarahkan kapal ke pelabuhan, serta meningkatkan pemeriksaan di kawasan berisiko dan mengaktifkan tindak balas kecemasan di Zhejiang, Fujian, Jiangsu dan Anhui.
  • Hampir 1,400 penerbangan di Shanghai dan 270 di Hangzhou dibatalkan, manakala SIA membatalkan lapan penerbangan dan menjadualkan semula sepuluh penerbangan ke dan dari Shanghai.
  • Pusat Meteorologi Kebangsaan menjangka taufan berterusan sehingga Isnin, dengan hujan lebat berpanjangan meningkatkan risiko banjir besar di sungai utama dan kawasan pergunungan.
Dijana oleh AI
BEIJING: Taufan Dolphin membadai pantai timur China pada Ahad (9 Ogos), membawa hujan lebat dan angin kencang sedang pihak berkuasa bersiap sedia menghadapi risiko banjir dan tanah runtuh di beberapa kawasan di timur negara itu.

Taufan tersebut sebelum ini membadai wilayah Okinawa di selatan Jepun, menyebabkan enam orang cedera dan bekalan elektrik terputus di lebih 50,000 bangunan.

Sebelum Taufan Dolphin membadai China, pihak berkuasa memindahkan para pekerja di luar pesisir ke tempat selamat dan mengarahkan kapal-kapal kembali ke pelabuhan.

Pemeriksaan turut dipertingkat di kawasan takungan air, sungai pergunungan, kawasan yang terdedah kepada tanah runtuh, tapak binaan dan lokasi pelancongan.

Pusat Meteorologi Kebangsaan China menyatakan taufan itu dijangka berterusan sehingga Isnin, dengan kelajuan angin sehingga 162 kilometer sejam, sebelum melemah dan bergerak ke kawasan pedalaman.

Kelajuan itu bersamaan dengan taufan Kategori Dua berdasarkan Skala Angin Taufan Saffir-Simpson, yang berupaya menyebabkan kerosakan besar terhadap rumah, pokok dan prasarana.

Hujan lebat diramalkan berterusan sehingga Isnin di Zhejiang, Shanghai, utara Fujian, timur laut Jiangxi, tengah dan selatan Anhui serta sebahagian besar Jiangsu.

Beberapa kawasan di tengah dan timur Zhejiang boleh menerima antara 250 hingga 500 milimeter hujan.

8 PENERBANGAN SIA DIBATALKAN

Hampir 1,400 penerbangan keluar dan masuk dari dua lapangan terbang penumpang utama Shanghai dibatalkan pada Ahad (9 Ogos), menurut stesen penyiar pemerintah CCTV.

Singapore Airlines (SIA) membatalkan lapan penerbangan ke dan dari Shanghai pada Ahad (9 Ogos).

SIA turut menjadualkan semula 10 penerbangan keluar dan masuk dari Shanghai pada Isnin (10 Ogos) dan Selasa (11 Ogos).

Di wilayah Zhejiang pula, 270 penerbangan keluar dan masuk dari lapangan terbang Hangzhou dibatalkan.
Related article image
Orang ramai berdiri berhampiran ombak besar yang menghempas kawasan pesisir sedang Taufan Dolphin menghampiri daerah Sanmen, Taizhou, wilayah Zhejiang, China, pada 8 Ogos 2026. (Gambar: Reuters/cnsphoto)
RISIKO BANJIR, TANAH RUNTUH

Selepas membadai pantai, Taufan Dolphin diramalkan bergerak ke arah barat sebelum memperlahankan pergerakannya di tengah dan barat daya China dan beransur-ansur kehilangan kekuatannya.

Ketua pengkaji cuaca Pusat Meteorologi Kebangsaan Wang Haiping berkata keadaan itu boleh menyebabkan hujan lebat berpanjangan dan meningkatkan risiko banjir serta tanah runtuh, khususnya di kawasan pergunungan dan sepanjang sungai-sungai kecil.

Kementerian Sumber Air China menyatakan Sungai Qiantang, Yong, Jiao dan Shuiyang berisiko mengalami banjir besar.

Sungai-sungai lebih kecil di kawasan paling teruk terjejas pula berkemungkinan meningkat melepasi paras amaran.

China mengekalkan tindak balas kecemasan banjir Tahap III di Zhejiang dan Fujian serta Tahap IV di Jiangsu dan Anhui.

Dalam sistem kecemasan empat tahap China, Tahap I merupakan tahap paling serius.

Kementerian Pengurusan Kecemasan turut menghantar pasukan ke Zhejiang dan Fujian.

Kementerian Sumber Asli pula menetapkan tindak balas bencana geologi Tahap III di Zhejiang dan Tahap IV di Anhui berikutan risiko tanah runtuh dan bahaya lain.

Pihak berkuasa memberi amaran mengenai risiko tinggi bencana geologi di beberapa kawasan Zhejiang.

Penduduk di kawasan yang dikenakan amaran merah banjir kilat di kawasan pergunungan turut diarahkan mematuhi arahan pemindahan pihak berkuasa tempatan.

Menjelang ketibaan Taufan Dolphin, Pelabuhan Yangshan di Shanghai mengosongkan kapal dari tempat berlabuh dan memindahkan lebih 500 kapal kecil dan sederhana ke kawasan perlindungan.
Sumber : Agensi berita/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita