Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tarikh PRU15 belum dibincang dengan 'Top Five' UMNO, kata PM Ismail Sabri

Anggaran Waktu Membaca:
BERA: Perdana Menteri Malaysia, Ismail Sabri Yaakob pada Ahad (11 Sep) berkata beliau belum berbincang dengan 'Top Five' UMNO berhubung tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

'Top Five' UMNO merujuk kepada Presiden Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden, Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Mohamed Khaled Nordin, Mahdzir Khalid dan Encik Ismail Sabri sendiri.  

Katanya, selepas berbincang dengan 'Top Five', barulah beliau akan berbincang dengan parti MCA dan MIC serta parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.

"... kemudian ia perlu dibawa ke Kabinet sebab di bawah Perlembagaan, kena ada kelulusan Kabinet sebelum saya menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk (mendapat perkenan) membubarkan Parlimen. 

"Itu prosedur yang perlu dipatuhi," katanya semasa berucap pada Majlis Penyampaikan Peruntukan Masyarakat Cina dan India Parlimen Bera 2022 di Dewan Kompleks UMNO Bera di Padang Luas Bera pada Ahad (11 Sep).

Walaupun belum berbincang mengenai tarikh PRU15, Encik Ismail Sabri mengingatkan pimpinan BN di Parlimen Bera untuk bersedia memperkemaskan gerak kerja jentera termasuk berjumpa pengundi bagi mengekalkan kemenangan BN di Parlimen Bera dan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Guai dan Kemayan selain merampas semula DUN Triang.

PRU15, menurut Encik Ismail Sabri walaupun tarikhnya belum diketahui, namun memberi bayangan “semakin hari ia semakin dekat' dan secara berseloroh berkata perkara itu perlu ditanya kepada perdana menteri mengenai bilakah tarikh pilihan raya akan diadakan?

Bagaimanapun jika merujuk kenyataan Encik Mohamad, Encik Ismail Sabri berkata Timbalan Presiden UMNO itu menjangkakan PRU15 akan diadakan sebelum hujung tahun ini.

Ini bermaksud tempohnya semakin hampir sekali gus penting bagi jentera parti untuk mula membuat persiapan.

Di Bera, Encik Ismail Sabri berkata beliau mahu jentera BN bekerja keras bagi mengekalkan kemenangan BN di Parlimen Bera, DUN Guai dan DUN Kemayan, selain merampas kembali DUN Triang yang dianggap kerusi selesa DAP.  

"Saya harap pastikan di Parlimen Bera kita menang bukan dengan 2,000 majoriti tetapi 5,000 atau 10,000 majoriti. Kita harus menang dengan bergaya dan menang besar kerana seluruh Malaysia pandang kerusi Parlimen Bera. Ini kerusi Perdana Menteri, tidak mungkin menang dua atau tiga ribu majoriti?

Encik Ismail Sabri juga percaya PRU15 adalah waktu terbaik untuk MCA merampas DUN Triang kerana DAP dan Pakatan Harapan (PH) gagal menunaikan janji selepas berpeluang memerintah selama 22 bulan, menjadikan rakyat sedar mereka tertipu. 

Pada majlis itu, Encik Ismail Sabri menyampaikan sumbangan kepada 68 persatuan dan kelab masyarakat Cina dan India dari sekitar Parlimen Bera.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan