Skip to main content

Dunia

Tarikh perbicaraan warga SG Malone Lam yang dituduh curi mata wang kripto ASS$230 ditetapkan pada 6 Okt

Lelaki Singapura yang didakwa mencuri dan melakukan pengubahan wang haram AS$230 juta (S$306.1 juta) dalam bentuk mata wang kripto akan dibicarakan pada 6 Oktober di Amerika Syarikat.

Anggaran Waktu Membaca:
Tarikh perbicaraan warga SG Malone Lam yang dituduh curi mata wang kripto ASS$230 ditetapkan pada 6 Okt

Warga Singapura Malone Lam dan kereta-kereta yang dibeli setelah dipercayai mencuri mata wang kripto sebanyak US230 juta (S$306.1 juta) daripada mangsa di Washington. (Gambar: Pejabat Sheriff Broward, dokumen mahkamah)

Diterbitkan : 08 Mar 2025 10:51AM Dikemas Kini : 08 Mar 2025 10:52AM
WASHINGTON DC: Lelaki Singapura yang didakwa mencuri dan melakukan pengubahan wang haram AS$230 juta (S$306.1 juta) dalam bentuk mata wang kripto akan dibicarakan pada 6 Oktober di Amerika Syarikat.

Tarikh perbicaraan Malone Lam ditetapkan selepas dia membuat kemunculan di mahkamah di Washington DC pada Jumaat (7 Mac), mengenakan pakaian penjara hijau.

Lelaki berusia 20 tahun itu sebelum ini pernah memohon untuk proses undang-undang yang "cepat".

Pihak pendakwaan menjangkakan akan ada tuduhan baru berkaitan kes terbabit dalam tempoh 30 hingga 45 hari akan datang, kata Penolong Peguam Amerika Syarikat Kevin L Rosenberg. Beliau menambah bahawa perbicaraan dijangka berlangsung sekitar dua minggu.

Selepas sesi perbicaraan mahkamah pada Jumaat, salah seorang peguam bela Lam, Scott Armstrong, berkata dalam satu kenyataan kepada Mediacorp: "Malone Lam berharap untuk menjalankan haknya untuk dibicarakan juri dalam kes tersebut."

Lam kini ditahan di sebuah penjara di Virginia. Lebih banyak sesi praperbicaraan dijangka akan berlangsung dalam beberapa bulan akan datang dan dia akan berpeluang untuk memberikan pengakuan rasmi pada sesi tersebut.

Bersama dengan rakan sejenayah, Jeandiel Serrano, Lam didakwa mencuri 4,100 Bitcoin daripada "pelabur berstatus tinggi" dengan berpura-pura sebagai anggota dari pasukan sokongan Google.

Pendakwa Amerika menggambarkan penipuan tersebut sebagai "salah satu pencurian mata wang kripto terbesar daripada individu persendirian ... dalam sejarah Amerika Syarikat".

Serrano, seorang lelaki berusia 21 tahun dari Los Angeles, tidak hadir di mahkamah.

Bagi setiap kesalahan, Lam berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda sehingga AS$250,000, (S$332.74 ribu) atau sehingga dua kali ganda keuntungan yang diperoleh daripada penipuan tersebut.

PERBELANJAAN MEWAH

Kes tersebut menarik perhatian di Singapura selepas berita tentang perbelanjaan mewah Lam yang didakwa menggunakan hasil daripada pencurian tersebut.

Da dikatakan telah menyewa rumah mewah, membelanjakan antara AS$400,000 (S$ 532.35 ribu) hingga AS$500,000 (S$665.44 ribu) di kelab malam di Los Angeles dan Miami, setiap malam, serta membeli puluhan kereta mewah yang disesuaikan termasuk Lamborghini, Ferrari, dan Porsche.

Video di media sosial dikatakan menunjukkan Lam di kelab malam, menghadiahkan beg Hermes Birkin kepada model dan pempengaruh.

Menurut dakwaan, Malone Lam menggunakan nama samaran dalam talian "Anne Hathaway" dan "$$$".

Dia dan Serrano didakwa menghantar notifikasi "akses akaun Google yang tidak sah" kepada mangsa dalam minggu sebelum pencurian tersebut.

Mereka menggunakan perkhidmatan proksi dan rangkaian peribadi maya (VPN) untuk membuat percubaan akses kelihatan seolah-olah ia datang dari luar negara. Ini menjadi asas kepada pencurian melalui "teknik kejuruteraan sosial canggih", menurut dokumen mahkamah.

Mahkamah mendengar bahawa pada 18 Ogos 2024, Lam dan rakan sejenayahnya menelefon mangsa, sambil berpura-pura sebagai anggota pasukan sokongan Google. Kedua-dua mereka memberitahu mangsa bahawa terdapat percubaan penggodaman ke atas akaun mereka. Lam an rakan sejenayahnya akhirnya meyakinkan mangsa untuk memberikan kod keselamatan akaun sebelum Lam dipercayai mengakses akaun OneDrive dan Gmail mangsa untuk mendapatkan aset mata wang kripto.

Berdasarkan dokumen mahkamah, Lam juga mencari maklumat tambahan mengenai akaun peribadi mangsa dan menemukan rekod pertukaran mata wang kripto Gemini.

Lam dan rakan sejenayahnya bersetuju bahawa salah seorang daripada mereka perlu menghubungi mangsa semula dan berpura-pura sebagai anggota pasukan keselamatan Gemini bagi meyakinkan mangsa bahawa akaun mata wang kriptonya juga sudah digodam.

Pada mulanya, mereka dipercayai dapat meyakinkan mangsa untuk memindahkan sekitar US$3 juta (S$3.99 juta) mata wang kripto ke dompet kripto yang dikawal Lam.

Mereka kemudian meminta mangsa untuk memuat turun program sambungan 'desktop' jauh bagi memastikan keselamatan mangsa. Program tersebut memberi akses terkini komputer mangsa kepada Lam dan Serrano.

Serrano didakwa terus memanipulasi mangsa untuk membuka beberapa fail, termasuk fail yang mengandungi kunci peribadi kepada lebih daripada 4,100 Bitcoin. Sementara Serrano terus bercakap dengan mangsa, Lam menggunakan kunci akses tersebut untuk mencuri Bitcoin.

Bukti penuh yang digunakan oleh pihak pendakwaan belum dikeluarkan, tetapi ia dipercayai merangkumi satu 'hard drive', tangkapan skrin pembualan dalam talian, dan telefon pintar Lam.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita