Tarikh buka semula Menara KL sedang dikenal pasti
Pengurusan baharu Menara Kuala Lumpur (Menara KL) LSH Service Masters Sdn Bhd (LSHSM) sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Komunikasi bagi menetapkan tarikh pembukaan semula mercu tanda ikonik Malaysia selepas melalui kerja-kerja penyenggaraan dan penambahbaikan menyeluruh.
Gambar fail Menara KL.
Ketua Pegawai Eksekutif LSHSM Khairil Faizal Othman berkata Menara KL hanya akan dibuka semula kepada orang ramai setelah semua aspek keselamatan dan fungsi operasi dipulihkan sepenuhnya.
“Kami sedang mempercepatkan kerja di tapak dan berkomunikasi rapat dengan Kementerian Komunikasi untuk mengenal pasti tarikh pembukaan sesuai menara telekomunikasi itu.
“Keutamaan kami adalah untuk memastikan pembukaan semula yang lancar dan tanpa halangan serta menyediakan pengunjung dengan pengalaman bertaraf dunia. Kami yakin ia akan tercapai sebaik sahaja kami dapat memulakan operasi penuh,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata penutupan Menara KL memberi kesan ketara kepada sektor pelancongan Malaysia apabila mercu tanda ikonik itu yang lazimnya menerima 1,000 hingga 1,500 pengunjung sehari kebanyakannya pelancong asing, menghentikan sementara operasinya.
Encik Khairil Faizal berkata berdasarkan penilaian awal menerusi Facility Condition Assessment (FCA) yang selesai pada 21 April lalu, LSHSM kini memberi tumpuan kepada kerja-kerja pemulihan menyeluruh dan bukan sekadar menaik taraf kemudahan sedia ada tetapi juga bagi mengembalikan sepenuhnya tahap keselamatan menara setinggi 421 meter itu.
Pada 16 April, Menteri Komunikasi Malaysia Fahmi Fadzil mengumumkan penutupan sementara Menara KL bermula 17 April untuk memberi ruang kepada pengurusan baharu, iaitu LSHSM, melakukan kerja-kerja penyenggaraan serta penambahbaikan demi keselamatan dan keselesaan pengunjung.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.