AS tarik diri dari Majlis Hak Asasi Manusia PBB
Amerika Syarikat menarik diri daripada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada Selasa (19 Jun), sambil menyelar anggota-anggota yang menurutnya "bersifat hipokrit".
WASHINGTON: Amerika Syarikat menarik diri daripada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada Selasa (19 Jun), sambil menyelar anggota-anggota yang menurutnya "bersifat hipokrit" dan didakwa "bersikap tidak berat sebelah" terhadap Israel.
Duta Amerika Syarikat ke PBB, Nikki Haely, mengumumkan demikian di Washington bersama Setiausaha Negara Mike Pompeo.
Kedua-duanya menekankan bahawa Amerika Syarikat akan terus menjadi pejuang utama bagi hak asasi manusia. Namun di mata ramai anggota lain, langkah ini menunjukkan sikap permusuhan Presiden Donald Trump terhadap badan dunia itu serta diplomasi berbilang pihak secara keseluruhannya.
Pengumuman ini dibuat menyusuli kritikan oleh pegawai tinggi hak asasi PBB terhadap Washington kerana memisahkan anak pendatang asing daripada ibu bapa mereka yang mencari suaka selepas merentasi sempadan dari Mexico.
Namun Cik Haley dan Encik Pompeo menekankan keputusan tersebut dibuat ekoran usaha setahun untuk mempengaruhi majlis tersebut bagi menyusun semula dan menyingkirkan anggota yang mencabuli hak asasi.
Badan yang berpangkalan di Geneva itu diasaskan pada 2006 untuk menggalak dan melindungi hak asasi manusia sejagat, namun perisytiharan dan laporannya seringkali bertentangan dengan kepentingan Amerika Syarikat.
Khususnya, tumpuan majlis itu terhadap tingkah laku Israel ke atas warga Palestin di kawasan yang dicerobohinya di Tebing Barat dan Gaza mencetuskan kemarahan Washington.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menyambut baik langkah Amerika Syarikat ini, dan menyifatkan majlis tersebut sebagai "badan yang tidak adil, bersifat bermusuhan dan anti-Israel yang tidak selari dengan misinya untuk memperjuangkan hak asasi manusia."
Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres berkata beliau menyesali keputusan Washington, sambil menambah: "Prasarana hak asasi manusia PBB memainkan peranan penting dalam menggalak dan melindungi hak asasi manusia sejagat."
Pada Isnin, Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Hak Asasi Manusia Zeid Ra'ad Al Hussein - seorang warga Jordan - menyelar Encik Trump atas dasar Amerika Syarikat yang memisahkan keluarga pendatang yang ditahan di sempadan Mexico.
Menurut pengarah eksekutif kumpulan Human Rights Watch Kenneth Roth: "Majlis Hak Asasi Manusia PBB telah memainkan peranan penting di negara-negara seperti Korea Utara, Syria, Myanmar dan Selatan Sudan, namun Trump hanya memikirkan tentang melindungi Israel."
Washington hanya menganggotai majis itu sejak Barack Obama menjadi presiden pada 2009.
Sejak Encik Trump mengambil alih jawatan, Amerika Syarikat sudahpun menarik diri daripada agensi kebudayaan PBB, UNESCO, memotong pendanaan bagi PBB dan mengumumkan untuk menarik diri daripada persetujuan iklim Paris yang disokong PBB.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.