Skip to main content

Dunia

Tarif Trump beri peluang kepada Malaysia rombak strategi perkukuh ekonomi negara: PM Anwar

Anggaran Waktu Membaca:
Tarif Trump beri peluang kepada Malaysia rombak strategi perkukuh ekonomi negara: PM Anwar

(Gambar: Facebook/Anwar Ibrahim)

Diterbitkan : 19 Apr 2025 09:26AM Dikemas Kini : 19 Apr 2025 09:27AM
KUALA LUMPUR: Pengumuman tarif oleh Amerika Syarikat memberi peluang kepada Malaysia untuk merombak strategi dalam memacukan lagi pengukuhan ekonomi negara, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan Malaysia berkata jika Malaysia mahu menjadi negara maju dalam kerangka MADANI, ia harus melakukan lonjakan atau “quantum leap” untuk berupaya mendepani cabaran seperti ketegangan politik dan sosial.

Menyifatkan keadaan ekonomi global masa kini yang seakan-akan "gelombang pemusnahan kreatif", PM Anwar menekankan bahawa Malaysia perlu mencari kaedah-kaedah baharu supaya dapat melangkah maju ke hadapan.

“Kita melakukan apa yang menjadi kepentingan terbaik untuk negara dan bukan sekadar hanya memberi respons kepada cabaran semasa yang sebenarnya juga penting, tetapi (kita) mesti terus kekal dalam haluan kita.

“Tumpukan kepada pelaburan yang betul, (atasi isu-isu) ketidaksamaan serta inovasi,” kata beliau pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Kementerian Pendidikan Tinggi Siri Kelima yang disiarkan secara langsung melalui Facebook Live pada Jumaat malam (18 Apr).

Mengulas perkembangan yang sama, Encik Anwar berkata tarif Amerika juga mendorong Kesatuan Eropah (EU) untuk mempercepatkan rundingan perdagangan.

“Tarif (AS) telah mendorong EU untuk datang kepada kita bagi mempercepatkan proses (rundingan) perjanjian perdagangan bebas (FTA),” katanya.

Beliau turut berkata kebergantungan yang berlebihan kepada pasaran tradisional yang telah lama wujud, kini tidak lagi boleh dianggap sebagai sesuatu yang sihat.

"Oleh itu, walaupun untuk ASEAN, kita tidak lagi mengutamakan tanggapan tradisional seperti pemusatan dan keamanan untuk ASEAN, (tetapi) sebaliknya kita menekankan Perdagangan intra-ASEAN, pelaburan dan kelebihan daya saing,” kata beliau.
 
Sumber : Bernama/HA/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita