Tarif baharu Amerika, pengecualian 18 produk dijangka rangsang pertumbuhan ekonomi Indonesia
Menteri Koordinator Bidang Perekonomian Indonesia berkata pada Jumaat (5 Jun) bahawa tarif tambahan 10 peratus yang dikenakan Amerika Syarikat ke atas eksport negara itu, bersama pengecualian yang dijangka diberikan kepada sesetengah produk utamanya, boleh membantu merangsang pertumbuhan ekonomi negara itu.
Menteri Koordinator Bidang Perekonomian Indonesia Airlangga Hartarto semasa sidang media di Jakarta, Indonesia, pada 24 Julai 2025. (Gambar: REUTERS/Ajeng Dinar Ulfiana)
Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) telah mencadangkan tarif sehingga 12.5 peratus ke atas import dari 60 negara selepas mendapati negara-negara tersebut gagal membendung perdagangan barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa, menurut pengumuman Washington awal minggu ini. Ia mencadangkan kadar 10 peratus bagi Indonesia, lebih rendah berbanding beberapa pesaingnya.
Encik Airlangga berkata permintaan Indonesia untuk mengecualikan 18 produk di bawah siasatan Seksyen 301 berkemungkinan besar akan diluluskan, namun beliau tidak memberikan butiran lanjut.
"Langkah-langkah strategik ini tentunya akan menjadi rangsangan ekonomi yang besar kepada industri Indonesia, mengurangkan kos eksport dan meningkatkan daya saing komoditi utama kami dalam pasaran domestik Amerika Syarikat," kata Encik Airlangga.
Beliau menjangkakan eksport katod tembaga oleh Freeport Indonesia, syarikat pelombongan yang dikawal oleh syarikat pelombongan Amerika Syarikat Freeport McMoRan, dengan majoriti sahamnya dimiliki pemerintah Indonesia, akan dikecualikan daripada tarif Amerika Syarikat di bawah Seksyen 232.
Pengumuman USTR itu dibuat menjelang tarikh akhir tarif sementara 10 peratus yang dikenakan oleh pentadbiran Presiden Amerika Donald Trump pada 20 Februari, hari yang sama Mahkamah Agung membatalkan tarif Encik Trump di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (International Emergency Economic Powers Act).
Amerika Syarikat dan Indonesia menandatangani perjanjian tarif balasan sebelum keputusan mahkamah pada 20 Februari, namun kedua-dua negara masih belum mengesahkan perjanjian tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.