Skip to main content

Dunia

Tarif baharu Amerika mula berkuat kuasa, pentadbiran Trump sasar naikkan kadar kepada 15%

Amerika Syarikat mula mengumpul tarif import global baharu sebanyak 10 peratus pada Selasa (24 Feb).
Anggaran Waktu Membaca:
Tarif baharu Amerika mula berkuat kuasa, pentadbiran Trump sasar naikkan kadar kepada 15%
Sebuah kapal kargo yang sarat dengan kontena dilihat di Pelabuhan Oakland, California, Amerika Syarikat, pada 4 Ogos 2025. (Gambar fail: REUTERS/Carlos Barria)
Diterbitkan : 25 Feb 2026 08:16AM
WASHINGTON: Amerika Syarikat mula mengumpul tarif import global baharu sebanyak 10 peratus pada Selasa (24 Feb).

Sungguhpun begitu, petadbiran Trump berusaha menaikkan tarif tersebut kepada 15 peratus, menurut seorang pegawai Rumah Putih, sekali gus menimbulkan kebimbangan berhubung dasar tarif Presiden Donald Trump menyusuli kekalahan di Mahkamah Agung pada minggu lalu.

Encik Trump pada awalnya menandatangani satu perintah pada Jumaat (20 Feb) untuk mengenakan tarif 10 peratus selama 150 hari bagi menggantikan pelaksanaan tarif meluas di bawah undang-undang darurat yang dibatalkan oleh Mahkamah Agung.

Namun pada Sabtu (21 Feb), beliau berkata bahawa beliau akan menaikkan kadar itu kepada 15 peratus.

Pada Isnin malam, sebelum pengumpulan tarif bermula pada waktu tengah malam, agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) memaklumkan kepada para penghantar bahawa kadarnya adalah 10 peratus.

Pegawai Rumah Putih memberitahu Reuters bahawa Encik Trump "tidak mengubah pendirian" mengenai hasratnya untuk mengenakan tarif 15 peratus di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974, namun tidak memberikan butiran mengenai tempoh pelaksanaan kenaikan tersebut.

Setakat Isnin, Encik Trump belum menandatangani sebarang perintah rasmi presiden untuk menaikkan kadar tersebut kepada 15 peratus dan CBP hanya boleh bertindak berdasarkan perintah eksekutif serta pengisytiharan presiden yang diterbitkan.

Notis CBP merujuk kepada arahan pada Jumaat, sambil menyatakan selain daripada produk-produk yang dilindungi oleh pengecualian, barang import "tertakluk kepada kadar ad valorem tambahan sebanyak 10 peratus".

TIDAK JELAS MENGAPA KADAR LEBIH RENDAH DIKENAKAN

Langkah itu menambah lagi kekeliruan terhadap dasar perdagangan Amerika Syarikat, dengan tiada penjelasan diberikan dalam notis tersebut tentang mengapa kadar lebih rendah digunakan.

"Encik Trump akan menyampaikan ucapan 'State of the Union' malam ini, jadi mungkin kita akan mendapat gambaran lebih jelas mengenai langkah seterusnya berhubung tarif," menurut Deutsche Bank dalam satu nota.

"Secara keseluruhan kami fikir kadar tarif berkesan akan merosot tahun ini dan dunia pasca-SCOTUS akan menyaksikan kadar tarif lebih rendah berbanding sebelum SCOTUS," menurut para penganalisis, sambil merujuk kepada Mahkamah Agung Amerika Syarikat.

Walaupun kadar tarif 10 peratus kurang berat daripada dijangkakan, para pedagang menukil ketidakpastian mengenai prospek perdagangan sebagai salah satu sebab saham global dibuka lebih rendah pada Selasa.

Indeks-indeks utama Amerika Syarikat diniagakan lebih tinggi menjelang tengah hari, dengan Purata Perindustrian Dow Jones naik 0.65 peratus, Indeks S&P 500 meningkat 0.5 peratus dan Nasdaq pula meningkat 0.8 peratus sedang Anthropic memperkenalkan alat-alat kecerdasan buatan (AI) baharu.

Tarif baharu itu berkuat kuasa pada waktu tengah malam, manakala pengumpulan tarif yang dibatalkan oleh Mahkamah Agung digantung.

Tarif tersebut sebelum ini antara 10 peratus hingga 50 peratus.

EU DIBERIKAN JAMINAN SEMULA MENGENAI PERJANJIAN PERDAGANGAN

Tarif baharu sebanyak 10 peratus itu mencetuskan dilema bagi Kesatuan Eropah (EU), yang sebelum ini bersetuju dengan perjanjian perdagangan yang menetapkan kadar tarif asas sebanyak 15 peratus.

Menteri Perdagangan Suruhanjaya Eropah Maros Sefcovic berkata blok itu berdepan "tempoh peralihan" berhubung tarif sementara Trump, namun menambah pegawai perdagangan Amerika Syarikat memberikannya jaminan bahawa Washington akan berpegang pada perjanjian tersebut.

Masih belum jelas sama ada dan bagaimana syarikat-syarikat akan dibayar balik bagi tarif yang dibayar di bawah program yang dibatalkan oleh Mahkamah Agung.

Undang-undang Seksyen 122 membenarkan presiden untuk mengenakan cukai baharu sehingga 150 hari bagi menangani defisit imbangan pembayaran yang “besar dan serius” serta “masalah asas pembayaran antarabangsa”.

Perintah tarif Encik Trump berhujah bahawa defisit imbangan pembayaran serius wujud dalam bentuk defisit perdagangan barangan Amerika Syarikat sebanyak AS$1.2 trilion (S$1.52 trilion) setahun, defisit akaun semasa pada kadar empat peratus daripada Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) serta pembalikan lebihan pendapatan utama Amerika.

Namun, sebahagian ahli ekonomi dan peguam perdagangan berpendapat Amerika Syarikat tidak berada di ambang krisis imbangan pembayaran, sekali gus mendedahkan cukai baharu itu kepada cabaran undang-undang.

TRUMP BERI AMARAN NEGARA-NEGARA TIDAK BERUNDUR DARIPADA PERJANJIAN PERDAGANGAN

Pada Isnin, Encik Trump memberi amaran kepada negara-negara agar tidak menarik diri daripada sebarang perjanjian perdagangan yang sudah dirundingkan dengan Amerika Syarikat, sambil memberi amaran bahawa beliau akan mengenakan cukai yang jauh lebih tinggi di bawah undang-undang lain.

Jepun menyatakan ia sudah meminta Amerika Syarikat untuk memastikan layanan di bawah rejim tarif baharu tersebut setidak-tidaknya sama baik dengan perjanjian yang sedia ada.

Kesatuan Eropah, Britain dan Taiwan turut menyatakan keutamaan untuk berpegang pada perjanjian masing-masing.

Carsten Brzeski, ketua global makro di ING berkata walaupun terdapat had 150 hari bagi set langkah semasa, ketidaktentuan perdagangan berkemungkinan tidak akan reda dalam masa terdekat.

“Kerana perkara seterusnya yang boleh beliau (Trump) lakukan ialah, dengan gangguan selama sehari, secara teori melanjutkannya tanpa had setiap 150 hari,” kata beliau.

China menggesa Washington supaya membatalkan “tarif sehalanya”, sambil menyatakan kesediaan untuk mengadakan satu lagi pusingan rundingan perdagangan dengan ekonomi terbesar dunia itu, menurut kenyataan kementerian perdagangan negara tersebut pada Selasa.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita