Skip to main content

Dunia

Tarif Amerika ancaman terbaharu terhadap industri produk kecantikan Korea Selatan

Anggaran Waktu Membaca:
Tarif Amerika ancaman terbaharu terhadap industri produk kecantikan Korea Selatan

Pelancong membeli-belah di kedai Olive Young di Seoul, Korea Selatan pada 28 April 2025. (Gambar: REUTERS/Kim Hong-Ji)

Diterbitkan : 07 Oct 2025 11:50PM Dikemas Kini : 07 Oct 2025 11:51PM
SEOUL: Produk-produk kecantikan Korea, yang dahulunya agak tidak dikenali di luar Asia, kini bersaing dengan beberapa jenama terbesar dari Perancis dan Amerika Syarikat.

Eksport kosmetik Korea Selatan melonjak 20 peratus kepada rekod AS$10.28 bilion tahun lalu, menurut data pemerintah negara itu. Lonjakan itu didorong oleh populariti K-pop, drama Korea, dan minat global terhadap produk penjagaan kulit Korea.

Negara itu kini merupakan pengeksport ketiga terbesar produk kecantikan di seluruh dunia dan pengeksport utama ke Amerika Syarikat.

Tetapi fenome kecantikan ini kini menghadapi halangan baharu.

Pada 29 Ogos, Amerika Syarikat memansuhkan pengecualian cukai ke atas pakej kecil bernilai AS$800 atau lebih rendah daripada itu yang memasuki negara tersebut di bawah peraturan import baharu.

Langkah itu bermakna produk kosmetik Korea yang diimport kini tertakluk kepada tarif 15 peratus, yang boleh menjejaskan industri produk kecantikan Korea Selatan yang kecil tetapi berkembang pesat.

IMPAK SEGERA TERHAD

Kolmar Korea – pengeluar utama yang menghasilkan produk kosmetik untuk lebih 1,000 jenama di seluruh dunia, termasuk label bebas dan syarikat gergasi global – menyatakan bahawa impak segera tarif ke atas penjualannya adalah terhad.

Bagaimanapun, ia memberi amaran bahawa tekanan boleh meningkat.

"Tarif adalah sesuatu yang telah diserap oleh jenama-jenama itu sendiri, dan ada yang masih cuba menanganinya. Buat masa ini, jumlah produk yang melepasi ambang tarif tidak cukup besar untuk terjejas secara serius," kata Han Sang Keun, naib presiden penyelidikan dan pengembangan syarikat itu.

"Kami adalah pengeksport nombor satu Korea, tetapi untuk tarif benar-benar memberi kesan kepada kami, jumlahnya perlu lebih besar," katanya lagi.

Untuk mengurangkan risiko, Kolmar telah melabur dalam kemudahan pengeluaran tempatan di Amerika Syarikat di mana ia mengeluarkan beberapa produk 'K-beauty' untuk pasaran Amerika.

Ini bukan sahaja membantu mengimbangi kos tarif tetapi juga memendekkan masa penghantaran untuk pelanggan Amerika.

Encik Han berkata jenama Korea akhirnya akan menjadi terkenal dan diiktiraf sebagai jenama global di Amerika Syarikat.

"Apabila itu berlaku, isu seperti jurang harga dan masa penghantaran menjadi kritikal. Pengeluaran perlu berlaku secara tempatan untuk menjadi lebih pantas dan lebih cekap," tambahnya.

"Mengenai tarif Amerika, kami bersikap fleksibel," kata Cliff Kim, pengurus kanan di jabatan penjualan antarabangsa Lillycover, kepada Mediacorp.

"Kami boleh menurunkan harga, berunding dengan pelanggan atau menawarkan bonus tambahan. Saya yakin kami boleh merekodkan penjualan melebihi impak 15 peratus itu."

"Untuk volum kecil - satu atau dua produk - penghantaran dan membayar tarif adalah baik. Tetapi apabila anda bercakap mengenai puluhan ribu atau berjuta-juta, pengeluaran tempatan menjadi lebih cekap."

Jenama Korea Selatan yang lain, seperti syarikat pemula Lillycover, berkata mereka boleh mengatasi kesan tarif Amerika, disebabkan oleh populariti produk 'K-beauty'.

Syarikat itu baru-baru ini mencipta peranti penjagaan kulit bijak yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI) dan data raya, direka untuk menganalisis jenis kulit pengguna dan menyarankan penjagaan yang diperibadikan.
Related article image
Kios-kios di acara Minggu Kecantikan Seoul yang diadakan dari 28 hingga 30 Ogos 2025 di Seoul, Korea Selatan.
Pembeli yang berpangkalan di Amerika Syarikat juga sedang mencari cara untuk mengurangkan beban tarif.

Sesetengah, seperti Ketua Pegawai Eksekutif RBB Studio, Roh Sun Min, sedang mengalihkan strategi penyumberan luar.

"Sebelum ini, saya kadangkala mendapatkan sumber melalui pengedar dan bukannya terus daripada jenama. Tetapi harga pengedar lebih tinggi, yang menaikkan tarif, (jadi) kita beralih ke arah import langsung daripada jenama untuk mengurangkan kos dan menangani isu tarif," katanya.

Pada Julai, Amerika Syarikat bersetuju untuk menurunkan kadar tarif menyeluruh ke atas produk Korea Selatan daripada 25 peratus kepada 15 peratus sebagai ganti untuk Korea Selatan melabur AS$350 bilion dalam industri Amerika.

Bagaimanapun, Seoul dan Washington masih belum mencapai sebarang perjanjian.

Walaupun terdapat ketegangan perdagangan, ramai dalam industri kekal optimis, dengan sektor kecantikan Korea Selatan terus menarik pengguna global dengan inovasi, produk-produk yang menetapkan trend dan pengaruh budayanya.

Tetapi sejauh mana 'K-beauty' boleh berkembang - dan seberapa cepat - kini mungkin bergantung kepada sejauh mana ia berupaya menangai hambatan perdagangan baharu ini.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita