Target tarik balik sesetengah produk LGBTQ selepas terima ugutan

(Gambar: Target)
WASHINGTON: Peruncit Amerika Syarikat (AS) Target sudah menggugurkan beberapa barangan daripada koleksi LGBTQ Pride Collection selepas menerima ancaman dan konfrontasi di cawangan-cawangan tertentu.
Syarikat itu menyatakan pada Selasa (23 Mei) bahawa langkah itu akan melindungi para pekerjanya, selepas apa yang disifatkannya sebagai "keadaan yang tidak menentu" di sejumlah daripada 2,000 cawangannya.
Di sesetengah wilayah, Target menyatakan ia sudah memindahkan produk-produk bulan Pride ke bahagian belakang cawangannya, lapor BBC.
Koleksi sebanyak 2,000 produk itu termasuk baju-T dengan corak pelangi dan cogan kata "love is love".
Produk-produk lain termasuk cawan "cecair jantina" dan buku kanak-kanak bertajuk "Bye Bye, Binary," "Pride 1,2,3" dan "I'm not a girl."
"Sejak memperkenalkan koleksi tahun ini, kami menerima ancaman-ancaman yang menggugat keselamatan dan kesejahteraan para anggota pasukan kami semasa mereka bekerja," dedah Target dalam kenyataannya.
"Mengambil kira keadaan yang tidak menentu ini, kami membuat penyesuaian pada rancangan kami, termasuk menggugurkan barangan yang telah mencetuskan tingkah laku bersifat konfrontasi yang sangat ketara ini."
Jurucakap Target berkata bahawa terdapat peningkatan pada jumlah insiden di mana barangan Pride dibuang ke lantai.
Produk yang ditarik balik Target sedang dialih keluar dari semua cawangan AS dan laman webnya, menurut jurucakap itu kepada agensi berita Reuters.
Ia berlaku sedang jenama di seluruh dunia mendapati diri mereka terperangkap dalam kontroversi berhubung rangkaian produk yang mencerminkan dan memperjuangkan kepelbagaian LGBTQ.
Di Malaysia, Swatch menyatakan bahawa pihak berkuasa merampas 164 jam tangan dengan warna pelangi bernilai AS$14,000 (S$18,861) daripada kedai-kedainya termasuk di ibu kota Kuala Lumpur.
Berdasarkan notis saman kepada Swatch yang dilihat oleh AFP, jam tangan itu mempunyai "unsur-unsur LGBT" dan melanggar undang-undang percetakan 1984 yang sejak sekian lama diselar oleh para pengkritik kerajaan sebagai bersifat drakonian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.