Skip to main content

Dunia

Tapak pelupusan sampah Indonesia runtuh, empat orang terkorban

Anggaran Waktu Membaca:
Tapak pelupusan sampah Indonesia runtuh, empat orang terkorban
Anggota penyelamat memeriksa tapak runtuhan sampah yang mengorbankan beberapa orang sedang mesin berat digunakan untuk mencari mangsa di tapak pelupusan sampah di Bantargebang, Jawa Barat, Indonesia, pada 9 Mac 2026. (Gambar: BASARNAS)
Diterbitkan : 09 Mar 2026 05:00PM Dikemas Kini : 09 Mar 2026 05:03PM
JAKARTA: Kejadian tanah runtuh di tapak pelupusan sampah terbesar Indonesia menyebabkan puluhan lori dan gerai makanan tertimbus, mengorbankan empat orang, menurut pasukan penyelamat pada Isnin (9 Mac) sedang mereka mencari sekurang-kurangnya lima lagi yang dilaporkan hilang.

Kejadian berlaku pada pukul 2.30 petang Ahad (3.30 petang waktu Singapura) di Bantargebang, sebuah tapak pelupusan sampah yang terletak hanya 25km di luar Jakarta, menurut agensi mencari dan menyelamat kebangsaan Indonesia.

"Anggota penyelamat membuka laluan dengan menggunakan peralatan berat seperti jengkaut dan mengerahkan anjing pengesan untuk mencari sebarang petunjuk mengenai mangsa," kata agensi itu dalam satu kenyataan.

Runtuhan itu berlaku selepas hujan lebat selama beberapa jam di kawasan itu, lapor media tempatan.

Lebih 300 anggota pasukan mencari dan menyelamat, yang menggunakan jentera berat dan anjing pengesan, telah dikerahkan ke tapak pelupusan sampah yang amat luas itu pada Ahad di Tempat Pengelolaan Sampah Terpadu, kata ketua Pejabat Mencari dan Menyelamat Jakarta, Desiana Kartika Bahari.

Para penyelamat bekerja dengan berhati-hati di tengah-tengah timbunan sampah yang tidak stabil, tambahnya.

Beliau berkata mangsa termasuk dua pemandu lori sampah dan dua penjual gerai makanan yang bekerja atau berehat berhampiran tapak pelupusan sampah itu, manakala empat orang berjaya melarikan diri daripada bencana itu.

“Kami tidak menolak kemungkinan lebih ramai mangsa,” katanya. “Kami masih mengumpul data untuk mengesahkan berapa banyak kenderaan dan pekerja yang terperangkap di bawah timbunan runtuhan.”

Gambar dan video yang diterbitkan oleh Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan menunjukkan jengkaut menggali timbunan yang runtuh, di mana beberapa lori sampah dan gerai makanan kecil tertimbus.

Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan, Abdul Muhari, menggesa dipatuhi protokol keselamatan yang ketat semasa operasi mencari, sambil berkata bahawa ramalan cuaca untuk dua hari akan datang menunjukkan potensi hujan di seluruh Jakarta dan bandar-bandar yang berdekatan.

Beliau memberi amaran bahawa timbunan runtuhan yang tidak stabil itu boleh mencetuskan pergerakan tanah tambahan, dan meletakkan pasukan penyelamat dalam risiko lanjut.

Jakarta dan bandar-bandar berhampirannya, yang secara kolektif dikenali sebagai Jabodetabek, mempunyai kira-kira 42 juta orang penduduk dan menjana anggaran 14,000 tan sampah setiap hari.

Bantargebang, salah satu tapak pelupusan sampah terbuka terbesar di dunia, meliputi kawasan seluas lebih 110 hektar dan menampung kira-kira 55 juta tan sampah, menurut seorang pegawai agensi persekitaran tempatan.

Menteri Lingkungan Hidup Hanif Faisol Nurofiq menyalahkan pihak berkuasa tempatan kerana membenarkan pengumpulan sampah walaupun terdapat larangan terhadap tapak pelupusan sampah terbuka pada tahun 2008.

"Bantargebang adalah milik pentadbiran Jakarta, jadi mereka perlu bertanggungjawab," kata Encik Hanif kepada badan penyiar Kompas TV lewat Ahad semasa melawat tapak bencana.

"Kejadian ini mesti benar-benar menjadi pengajaran pahit bagi kita supaya Jakarta dapat segera membuat penambahbaikan."

Agensi persekitaran Jakarta berkaitan tidak segera memberi maklum balas kepada permintaan AFP untuk mendapatkan komen.

Presiden Prabowo Subianto berkata bulan lalu bahawa kebanyakan tapak pelupusan sampah di Indonesia, yang sedang dihentikan secara berperingkat, akan melebihi kapasitinya menjelang 2028.

Pemerintah akan melabur AS$3.5 bilion dalam projek untuk membina 34 tapak pelupusan sampah dalam tempoh dua tahun, yang boleh membakar sisa sampah untuk menghasilkan bekalan tenaga elektrik, katanya.

Pada tahun 2005, 143 orang terkorban berikutan kejadian tanah runtuh di sebuah tapak pelupusan sampah di Jawa Barat, yang dicetuskan oleh letupan gas metana dan hujan lebat di kawasan tersebut.
Sumber : Agensi berita/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita