Skip to main content

Dunia

Tapak kebakaran menurun di Kalimantan, kekal rendah di Sumatra, namun pencemaran udara tidak berubah

Bahan cemar daripada kebakaran hutan dan tanah di Sumatra dan Kalimantan terus bergerak menuju ke Selat Melaka dan Laut Natuna, serta berpotensi menuju ke Malaysia, Singapura dan Brunei, menurut ramalan pihak berkuasa Indonesia pada Selasa (1 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Tapak kebakaran menurun di Kalimantan, kekal rendah di Sumatra, namun pencemaran udara tidak berubah

Jumlah tapak kebakaran di wilayah-wilayah keutamaan di Kalimantan, Indonesia, merosot dengan ketara, manakala bilangannya di Sumatra kekal rendah pada 1 September 2026. (Gambar: REUTERS)

Diterbitkan : 01 Sep 2026 10:51PM
  • Pihak berkuasa Indonesia seperti BMKG dan BNPB melaporkan bahan cemar dari kebakaran hutan di Sumatra dan Kalimantan bergerak ke Selat Melaka dan Laut Natuna, berpotensi menjejaskan Malaysia, Singapura dan Brunei.
  • Jumlah tapak kebakaran menurun di Kalimantan, manakala di Sumatra kekal rendah, namun pencemaran udara masih teruk di beberapa kawasan dengan ISPU tinggi dan jarak penglihatan terhad.
  • Pasukan darat berjaya memadamkan kebakaran di beberapa wilayah, tetapi kawasan gambut memerlukan usaha tambahan untuk memastikan tiada bara tertinggal.
  • Operasi pembenihan awan menghasilkan hujan di Jambi tetapi gagal di Kalimantan Tengah dan tidak dapat dijalankan di beberapa kawasan lain kerana ketiadaan awan sesuai.
Dijana oleh AI
JAKARTA: Bahan cemar daripada kebakaran hutan dan tanah di Sumatra dan Kalimantan terus bergerak menuju ke Selat Melaka dan Laut Natuna, serta berpotensi menuju ke Malaysia, Singapura dan Brunei, menurut ramalan pihak berkuasa Indonesia pada Selasa (1 Sep).

Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofizik (BMKG) Indonesia mengeluarkan ramalan tersebut selepas jumlah tapak kebakaran mencatatkan penurunan mendadak di wilayah-wilayah keutamaan di Kalimantan. Di Sumatra pula, jumlahnya kekal agak rendah pada Selasa.

Namun, pencemaran udara yang teruk masih berterusan di beberapa kawasan di kedua-dua pulau tersebut.

Pemangku Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Bencana Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), Berton Panjaitan berkata Kalimantan Tengah merekodkan bilangan tertinggi iaitu 63 tapak kebakaran, turun berbanding 72 sehari sebelumnya, diikuti Kalimantan Barat sebanyak 30 daripada 104 dan Kalimantan Selatan sebanyak 13 berbanding 55.

Di Sumatra, beliau berkata Riau merekodkan empat tapak kebakaran, manakala Jambi dan Sumatra Selatan masing-masing mencatatkan 13 tapak kebakaran, dengan Sumatra Selatan menunjukkan sedikit peningkatan berbanding 11 sehari sebelumnya.

Encik Berton berkata pasukan darat berjaya memadamkan kebakaran yang meliputi kira-kira 263 hektar di Kalimantan Barat, 87 hektar di Kalimantan Tengah dan 29 hektar di Kalimantan Selatan, serta lebih 126 hektar di Riau, 13 hektar di Jambi dan 9.25 hektar di Sumatra Selatan setakat Isnin.

“Walaupun api telah dipadamkan, tugas belum selesai kerana kawasan berkenaan masih perlu dibasahi dan dipadamkan baranya sehingga tiada sisa haba yang tinggal. Kebakaran tanah gambut memberikan cabaran luar biasa berbanding kebakaran tumbuhan di tanah mineral,” kata beliau pada sidang media secara online pada Selasa.

Berdasarkan data yang dipaparkan semasa sidang media tersebut, pencemaran udara kekal teruk di beberapa bahagian di Kalimantan dengan Indeks Standard Pencemaran Udara (ISPU) mencecah 680 di Katingan, Kalimantan Tengah, diikuti 468 di Pontianak Tenggara, Kalimantan Barat, dan 405 di Murung Raya, Kalimantan Tengah setakat pukul 4.09 petang waktu tempatan.

Encik Berton berkata jarak penglihatan kekal di bawah satu kilometer di Kalimantan Barat, kira-kira dua kilometer di Kalimantan Tengah dan di bawah tiga kilometer di Kalimantan Selatan.

Di Sumatra, beliau berkata mutu udara bertambah baik terutamanya di Riau dan Jambi, manakala keadaan di Sumatra Selatan secara umumnya berada pada tahap sederhana, walaupun jarak penglihatan di situ masih kekal di bawah dua kilometer.

“Aktiviti normal, termasuk pembelajaran bersemuka, telah diteruskan di Riau dengan jarak penglihatan bertambah baik kepada lebih sembilan kilometer. Program Hari Tanpa Kereta juga diadakan pada Ahad lepas, menunjukkan bahawa mutu udara terutamanya di Pekanbaru telah bertambah baik. Kita berharap keadaan ini dapat terus dipertahankan,” kata beliau.

Mengenai operasi pembenihan awan, Encik Berton berkata hujan ringan hingga sederhana dicatatkan di beberapa bahagian di Jambi selepas 2,000 kilogram garam ditaburkan, manakala operasi di Kalimantan Tengah gagal menghasilkan hujan, dan usaha serupa tidak dapat dijalankan di Riau, Sumatra Selatan dan Kalimantan Selatan disebabkan oleh ketiadaan awan yang sesuai.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita