Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tapak binaan hotel Hard Rock runtuh: 1 maut, 18 cedera

Seorang mangsa terbunuh dan sekurang-kurangnya 18 lagi cedera di New Orleans pada Sabtu (12 Okt) menyusuli keruntuhan sebahagian bangunan Hotel Hard Rock yang masih dibina.

Anggaran Waktu Membaca:
Tapak binaan hotel Hard Rock runtuh: 1 maut, 18 cedera

Sebahagian bangunan Hotel Hard Rock yang masih dibina runtuh di New Orleans, Amerika Syarikat, pada 12 Oktober 2019. (Gambar: Reuters/Emily Kask)

Diterbitkan : 13 Oct 2019 12:39PM Dikemas Kini : 13 Oct 2019 12:49PM

NEW ORLEANS: Seorang mangsa terbunuh dan sekurang-kurangnya 18 lagi cedera di New Orleans pada Sabtu (12 Okt) menyusuli keruntuhan sebahagian bangunan Hotel Hard Rock yang masih dibina.

Sisa-sisa bahan binaan berserak di permukaan jalan di hadapan tapak binaan berkenaan dan kawasan sekeliling diseliputi habuk.

Rakaman video runtuhan itu tersebar luas di media sosial. Gambar-gambar yang dimuat naik jabatan bomba menunjukkan lantai-lantai yang remuk dan bahan binaan yang musnah.

Seorang mangsa mati di tempat kejadian menurut Ketua Jabatan Bomba Timothy McConnell, sambil menambah, struktur bangunan tersebut kini sudah tidak stabil.

"Satu lagi keruntuhan mungkin berlaku," katanya kepada para wartawan di tapak binaan.

Para anggota bomba membawa keluar para pekerja binaan yang berada di dalam hotel itu setelah bahagian atas tingkat enam hingga tingkat lapan runtuh, kata Encik McConnell.

Pengarah Khidmat Kecemasan Emily Nichols berkata, para pegawai barisan hadapan merawat 19 orang di tempat kejadian. Seramai 18 daripada mereka dikejarkan ke hospital dan kini berada dalam keadaan stabil.

Media tempatan melaporkan, tiga orang hilang dan para anggota khidmat kecemasan menggunakan anjing-anjing penghidu dan dron-dron untuk mencari mangsa-mangsa yang lain.

Gabenor Louisiana John Bel Edwards menggesa para penduduk dan pengunjung supaya menjauhi kawasan berkenaan.

"Situasi masih tidak menentu dan sangat berbahaya," katanya kepada para wartawan di tempat kejadian. "Setiap beberapa minit ada benda yang jatuh dari bangunan ini."

Disebabkan oleh struktur hotel yang tidak stabil, operasi untuk membersihkan kawasan berkenaan sedang dijalankan, menurut pengarah pejabat Keselamatan Dalam Negeri Collin Arnold.

Hard Rock International menyatakan, pihaknya sepatutnya mengambil alih pengurusan hotel itu dan ia tidak terbabit dalam pembinaannya.

"Kami ingin menyampaikan rasa simpati yang sangat mendalam kepada para mangsa kemalangan tragik ini dan kepada mereka yang disayangi serta rakan-rakan mereka, menurut syarikat tersebut dalam kenyataannya."

Jabatan Bomba sedang berusaha untuk memindahkan para penghuni dari bangunan-bangunan berdekatan, terutamanya kompleks-kompleks apartmen.

Sumber : Agensi berita/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan