Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tanjak lambang jati diri, keperibadian Melayu

Keperibadian identiti bangsa Melayu yang terkenal dengan sikap lemah lembut dan berbudi bahasa jelas terpancar dalam proses pembentukan tanjak yang memerlukan sikap sabar, kekemasan, kehalusan serta ketelitian.

Anggaran Waktu Membaca:
Tanjak lambang jati diri, keperibadian Melayu

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 25 Aug 2019 07:04PM Dikemas Kini : 25 Aug 2019 07:07PM

SEREMBAN: Keperibadian identiti bangsa Melayu yang terkenal dengan sikap lemah lembut dan berbudi bahasa jelas terpancar dalam proses pembentukan tanjak yang memerlukan sikap sabar, kekemasan, kehalusan serta ketelitian.

Penyandang adat Istana Besar Seri Menanti, Menteri Laksamana Alias Zakaria, berkata penciptaan tanjak ini jelas menggambarkan daya kreativiti yang tinggi dalam masyarakat Melayu iaitu bentuk tanjak yang dicipta oleh tukang Melayu bukan sahaja indah dipandang tetapi mempunyai nilai estetika yang dapat dibanggakan.

"Satu daripada simbol atau lambang yang terjelma daripada bentuk destar (tanjak) adalah kepahlawanan dan sejak dahulu lagi, pemakaian destar sudah dikaitkan dengan semangat kepahlawanan Melayu.

"Ini jelas ekoran kebiasaan panglima, hulubalang atau pahlawan Melayu zaman silam yang sentiasa memakai pakaian lengkap berdesta dan keris yang tersisip di pinggang.

"Orang Melayu berkebolehan mencipta sesuatu dan setiap ciptaannya adalah menurut kesesuaian dan menggambarkan hubungannya dengan alam sekitar," jelas Encik Alias ketika menyampaikan ceramah di Bengkel Pembuatan Tanjak dan Tengkolok.

Acara itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesenian, Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu negeri Mohamad Nazaruddin Sabtu semalam (24 Ogos).

Bengkel yang julung-julung kali diadakan itu dianjurkan oleh Persatuan Kebajikan Zuriat Keturunan Pusaka Bentan Malaysia dengan kerjasama Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Warisan Tanah Beradat Negeri Sembilan bersama Persatuan Peniaga Bazar Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) Seremban.

BENTUK TANJAK SIMPULKAN SERIBU MAKNA

Mengulas lanjut, Encik Alias berkata pengekalan sejarah dalam pemakaian tanjak dapat digambarkan melalui bentuk tanjak yang sarat dengan nilai seni dan keindahan yang masih kekal dan tetap disanjungi. Sekalipun tahun silih berganti dan zaman sudahpun banyak berubah, tanjak tetap indah dan unik.

"Simbol keagamaan jelas terpancar. Umpama bentuk tanjak yang dipakai oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dapat menjelaskan kedudukannya sebagai ketua agama. Lipatan simbol yang tertentu 'Dendam Tak Sudah' mempunyai lima lipatan menggambarkan lima prinsip yang terkandung di dalam rukun Islam.

"Perkataan 'Dendam Tak Sudah' bermaksud ketidakpuasan hati si penakuk semasa menghasilkan lipatan destar iaitu ia berasal daripada perkataan 'Andam Tak Sudah' yang bermaksud pengabadian kepada keselamatan dan kesejahteraan masyarakat dan kesempurnaan hanya Allah yang maha sempurna dan kepadanya segala sesuatu itu dicipta," terang Encik Alias lebih terperinci.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Bentan Malaysia yang juga pengarah program, Nazri Kamal, berkata bengkel yang diadakan secara percuma itu bertujuan memupuk minat dalam kalangan anak muda dan pelajar dalam membudayakan pemakaian tanjak serta tengkolok.

"Bengkel ini diharap dapat mendidik generasi muda menyayangi dan mengekalkan warisan budaya serta adat yang menjadi identiti negara ini. Ia juga dapat meningkatkan pemahaman mereka mengenai tanjak dan tengkolok bermula daripada konsep, jenis dan cara-cara membuatnya," ujar Encik Nazri.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan