Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tandas awam lelaki di New York kini dilengkapi meja tukar lampin bayi

Kaum bapa di New York boleh tersenyum lebar dengan perubahan yang bakal dilakukan ke atas tandas-tandas awam lelaki di seluruh kota itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Tandas awam lelaki di New York kini dilengkapi meja tukar lampin bayi

(Gambar: Wittayayut/Getty Images/iStockphoto)

Diterbitkan : 16 Jan 2019 10:00PM Dikemas Kini : 16 Jan 2019 10:08PM

NEW YORK: Kaum bapa di New York boleh tersenyum lebar dengan perubahan yang bakal dilakukan ke atas tandas-tandas awam lelaki di seluruh kota itu.

Menurut laporan CNN, satu undang-undang baru kini menetapkan bahawa semua bangunan baru atau yang dinaik taraf di New York harus menyediakan meja menukar lampin bayi di semua tandas awam bagi kaum lelaki dan wanita.

Peraturan baru itu diluluskan pada April 2018, namun ia hanya berkuat kuasa pada tahun baru ini ke atas restoran-restoran, kedai-kedai dan pawagam serta kemudahan-kemudahan di kota itu seperti taman-taman dan pejabat Jabatan Kenderaan Bermotor.

Di bawah undang-undang baru itu, sekurang-kurangnya satu meja menukar lampin bayi harus disediakan di dalam tandas awam bagi kedua-dua jantina yang terletak di setiap tingkat bangunan. Menurut undang-undang itu juga, para pengurus bangunan harus meletakkan tanda-tanda jelas bagi mengarahkan ibu bapa kepada kemudahan meja menukar lampin bayi yang terdekat.

Sebelum ini, tiada sebarang undang-undang yang memerlukan kemudahan sedemikian disediakan di dalam tandas-tandas awam, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Gabenor New York Andrew Cuomo.

"Para ibu bapa dan penjaga kanak-kanak kecil sering mengalami kesukaran mencari tempat yang bersih untuk menukar lampin anak-anak mereka," menurut kenyataan berkenaan. "Selain itu, meja menukar lampin hanya ditempatkan di tandas-tandas wanita."

Senator Wilayah Brad Hoylman, yang menggubal undang-undang itu, ditukil oleh CNN sebagai berkata begini dalam satu kenyataan: "Bukan para ibu sahaja yang menukar lampin bayi. Bapa-bapa juga harus saling membantu dan melakukan demikian."

Encik Hoylman merupakan salah seorang bapa yang merakamkan kesukaran yang dihadapi oleh kaum lelaki ketika ingin menukar lampin anak mereka menerusi media sosial.

Menurut Pusat Penyelidikan Pew, kaum bapa kini semakin terlibat dalam jagaan kanak-kanak berbanding 50 tahun lalu. Malah, hasil analisis data dari Tinjauan Penggunaan Masa Amerika pada 2016 mendapati bahawa golongan bapa meluangkan masa sekurang-kurangnya lapan jam setiap minggu bagi jagaan kanak-kanak - iaitu naik dua kali ganda berbanding 1965, lapor CNN.

Pada tahun lalu, seorang bapa dari Florida menarik perhatian ramai netizen selepas beliau berkongsi sekeping gambar yang menunjukkannya bercangkung di dalam tandas sebuah restoran sambil menukar lampin anak lelakinya.

"Apakah sebabnya tidak ada sebarang meja menukar lampin bayi dalam tandas lelaki seolah-olah seperti kami tidak wujud!!," kata Donte Palmer menerusi catatan di Instagram.

Beliau turut menggunakan hashtag #SquatForChange yang kemudiannya menjadi satu kempen media sosial bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kurangnya meja menukar lampin bayi di tandas lelaki.

Pada 2016, Presiden Barack Obama menandatangani Akta Tandas Mudah Diakses dalam Segala Situasi atau Akta BABIES, di mana semua tandas awam di bangunan persekutuan awam seperti bangunan mahkamah dan pejabat pos mesti dilengkapi dengan meja menukar lampin bayi.

Di bawah Akta BABIES, jika tandas awam itu tidak dilengkapi dengan meja menukar lampin bayi, tanda-tanda mesti diletakkan di koridor bangunan bagi mengarahkan para ibu bapa ke kemudahan terdekat.

Sumber : Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan