Tanah runtuh Indonesia: Angka korban cecah 22 orang; usaha cari mangsa dihentikan sementara
Angka korban dalam kejadian tanah runtuh di Pulau Jawa di Indonesia telah mencecah 22 orang, dengan empat masih dilaporkan hilang.
(Gambar: AP)
Ini menurut pihak berkuasa pada Khamis (23 Jan) sedang anggota penyelamat mengejar masa dan mengharungi cuaca buruk untuk mencari lebih ramai mangsa.
Hujan lebat di kawasan pergunungan dekat bandar Pekalongan di wilayah Jawa Tengah pada Isnin (20 Jan) mencetuskan kejadian tanah runtuh, yang meruntuhkan jambatan dan menyebabkan kereta dan rumah tertimbus.
"Mangsa yang ditemui maut kini seramai 22 orang. Empat individu masih dilaporkan hilang," kata Encik Budiono, ketua agensi mencari dan menyelamat dari bandar Semarang kepada AFP.
Pasukan penyelamat juga telah mula membersihkan lumpur tebal dan serpihan runtuhan dari jalan raya, kata Encik Budiono.
Sungguhpun begitu, usaha pencarian dihentikan pada lewat petang Khamis disebabkan oleh cuaca buruk dan potensi berlaku tanah runtuh lagi.
"Jika hujan turun, kami akan segera menghentikan usaha mencari mangsa kerana ia boleh membahayakan pasukan penyelamat yang bertugas," kata Encik Budiono, sambil menambah bahawa usaha pencarian akan diteruskan pada Jumaat (24 Jan).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.