Tanah runtuh Genting Highlands: Tentera M'sia lancar ikhtiar cari mangsa terakhir
(Gambar: Kementerian Pertahanan Malaysia/Facebook)
BATANG KALI: Laungan azan sekali lagi berkumandang di tapak pencarian mangsa tragedi tanah runtuh di Gohtong Jaya.
Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam hantaran di Facebook memaklumkan ia dilaungkan anggota Pasukan Batalion ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja Prebet Muhammad Asyraf Ghazali sebelum memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kelapan.
"Laungan azan sebelum melaksanakan sebarang misi sentiasa dipraktikkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan ia merupakan satu usaha kerohanian dalam mendapatkan petunjuk dan keberkatan daripada Yang Maha Esa.
"Selepas melaungkan azan, doa turut dibaca dan diaminkan oleh anggota pasukan penyelamat yang lain," menurut kenyataan itu.
Pasukan pencarian terus bersemangat bagi mengesan seorang lagi mangsa yang hilang, dipercayai kanak-kanak lelaki, setelah Ketua Polis Selangor, Arjunaidi Mohamed pada Khamis (22 Dis) melaporkan angka rasmi keseluruhan mangsa terlibat dalam insiden Jumaat lalu (16 Dis) adalah 92 orang bukannya 94.
Pada Khamis, empat mayat ditemui dalam satu gulungan kanvas khemah, iaitu seorang lelaki dewasa dan wanita dewasa serta seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan, sekali gus menjadikan angka korban sebanyak 30.
Sementara itu, tinjauan Bernama di Pos Kawasan Tempat Kejadian (PKTK) mendapati pengamal media masih setia menunggu sebarang perkembangan lanjut.
Dalam keadaan cuaca panas, turut kelihatan kenderaan anggota penyelamat keluar masuk menghantar dan mengambil anggota untuk bertukar syif bertugas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.