Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tanah runtuh Genting Highlands: Polis siasat faktor kecuaian manusia

Anggaran Waktu Membaca:

BANGI: Kertas siasatan membabitkan tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Batang Kali, berada di fasa akhir bagi mengenal pasti sekiranya terdapat keculasan daripada mana-mana pihak.

Ketua Polis Selangor, Arjunaidi Mohamed berkata, siasatan dijalankan bawah Seksyen 304A dan 209A Kanun Keseksaan yang dianggarkan sudah lengkap 85 hingga 90 peratus.

"Apabila pasukan mencari dan menyelamat keluar dari lokasi, baru pasukan kita boleh masuk dan mulakan siasatan.

"Siasatan kita adalah untuk mengenal pasti jika ada kecuaian mana-mana pihak sehingga menyebabkan kematian berkenaan.


"Kita siasat mana-mana pihak, kita tak boleh 'bias'," katanya sewaktu sidang media pada Selasa (27 Dis), seperti dipetik Sinar Harian. 

Encik Arjunaidi berkata, keterangan seramai 77 individu sudah dirakam, terdiri daripada pengendali tapak, pekerja, anggota pasukan penyelamat, anggota polis, keluarga mangsa dan mangsa terselamat dalam tragedi tanah runtuh yang mengorbankan 31 orang pada 16 Disember lalu.

Katanya, keterangan beberapa individu akan dirakam dalam masa terdekat terdiri daripada anggota penyelamat dan polis yang terawal menemui mayat mangsa, selain turut memanggil individu dari jabatan-jabatan kerajaan berkaitan bagi melengkapkan kertas siasatan.

"Kita juga sedang menunggu laporan daripada pihak hospital untuk mengesahkan punca kematian dan masih menunggu laporan patologi.

"Apabila cukup keterangan, mana-mana pihak yang didapati cuai kita akan tuduh. Tetapi cukup atau tidak cukup keterangan itu terpulang kepada Timbalan Pendakwa Raya," Sinar Harian memetik kata-kata Encik Arjunaidi. 

Dalam perkembangan sama, Encik Arjunaidi berkata, pihaknya berjaya mengesan pemilik 20 buah kenderaan yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh berkenaan.

Bagaimanapun katanya, kerja-kerja mengeluarkan kenderaan berkenaan perlu dilakukan oleh pemilik terbabit.

Seramai 31 mangsa terbunuh manakala 61 terselamat dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku sekitar pukul 2.30 pagi itu.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan