Skip to main content

Dunia

Tanah runtuh Genting Highlands: Pelbagai pihak sumbang makanan kepada anjing pengesan

Anggaran Waktu Membaca:
BATANG KALI: Ketangkasan anjing unit pengesan (K9) yang bertungkus lumus dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya di Batang Kali sehingga ada yang terpaksa direhatkan kerana kelesuan, mengundang simpati banyak pihak.

Pada Khamis (22 Dis) beberapa pihak tampil menyumbang 16 beg makanan sebagai tanda sokongan dan menghargai kelibat wira tak didendang itu dalam mengharungi cabaran lumpur tebal, lecak atau hujan sepanjang SAR dijalankan.

Daripada 16 beg makanan yang diterima, lapan daripadanya disumbangkan oleh orang awam, enam beg oleh Jabatan Veterinar Negeri Pahang dan dua lagi disumbangkan oleh Hills Pet Corner Sdn Bhd.

Selain itu, pasukan Veterinar Cheras juga hadir di lokasi kejadian bagi memberi rawatan kecemasan kepada anjing-anjing pengesan jika diperlukan.

Sebanyak 11 ekor anjing pengesan terlibat dalam operasi SAR dengan enam daripadanya milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, empat milik Polis Diraja Malaysia dan seekor daripada Angkatan Tentera Malaysia.

Bermuka bengis, bersifat garang dan mempunyai deria bau yang tajam, kehadiran anjing-anjing pengesan itu telah banyak membantu pasukan penyelamat di medan pencarian dan antara kejayaan terbesar adalah menemui enam mayat pada hari pertama SAR.

Setakat ini, tiga mangsa masih hilang manakala 61 terselamat daripada keseluruhan 94 mangsa yang dilaporkan terlibat.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita