Tanah runtuh di Indonesia ragut 11 nyawa termasuk bayi kembar
Sepasang bayi kembar berusia 10 bulan adalah dalam kalangan sekurang-kurangnya 11 orang yang maut dalam kejadian tanah runtuh di sebuah bandar di Indonesia pada Isnin (28 Sep), kata seorang pegawai operasi mencari dan menyelamat.

Kejadian tanah runtuh berlaku di empat tempat berbeza di Tarakan, Indonesia, pada 28 Sep 2020. (Gambar: AFP)
TARAKAN: Sepasang bayi kembar berusia 10 bulan adalah dalam kalangan sekurang-kurangnya 11 orang yang maut dalam kejadian tanah runtuh di sebuah bandar di Indonesia pada Isnin (28 Sep), kata seorang pegawai operasi mencari dan menyelamat.
Sebilangan rumah juga tertimbus tanah di empat tempat berbeza di sekitar Tarakan di pulau Kalimantan setelah hujan lebat dan angin kencang berlarutan selama berjam-jam.
Dalam kalangan yang terkorban termasuk lima kanak-kanak manakala empat mangsa lain dapat diselamatkan.
"Antara mangsa yang mayatnya ditemui - jasad seorang bapa dan bayi kembar lelakinya yang berusia 10 bulan," kata ketua operasi mencari dan menyelamat Amiruddin.
Sekurang-kurangnya 19 rumah musnah akibat kejadian itu di seluruh Tarakan.
Tanah runtuh yang membawa maut dan banjir kilat kerap berlaku di kepulauan Indonesia di mana hujan berlaku dengan kerap dan tanpa henti.
Puluhan orang mati pada Julai setelah banjir kilat dan tanah runtuh melanda sebahagian wilayah Sulawesi Selatan.
Agensi bencana Indonesia menganggarkan 125 juta rakyat republik itu - hampir separuh daripada penduduk negara tersebut - tinggal di kawasan yang berisiko mengalami kejadian tanah runtuh.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.