Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tanah jerlus Kuala Lumpur: Penduduk bimbang mengenai keselamatan; pakar beri amaran terhadap spekulasi

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Sejak Jumaat lalu (23 Ogos), pengurup wang Noor dibelenggu rasa takut setiap kali beliau meninggalkan tempat kerjanya di Jalan Masjid India.

"Apabila saya berada di dalam bangunan itu, saya berasa selamat tetapi apabila saya berjalan di luar, saya berasa takut ... Saya melihat tanah tersebut dengan ketakutan," luah ibu kepada dua anak, yang telah bekerja di kawasan yang sibuk itu selama kira-kira 10 tahun.
Seorang pelancong warga India terjatuh ke dalam lubang di hadapan Malayan Mansion pada pagi Jumaat lalu, hanya beberapa meter dari tempat di mana Cik Noor bertugas. Meskipun beliau tidak menyaksikan insiden itu di hadapan mata, beliau telah menonton video kejadian berkenaan dan bimbang perkara yang sama boleh berlaku kepadanya.

"Saya tidak tahu berapa kali saya telah berjalan di tempat yang sama itu. Kadang-kadang pada waktu pagi, saya duduk di bangku berkenaan di sebelah tempat itu sementara menunggu kedai dibuka," ujar Cik Noor, yang enggan memberikan nama penuhnya.

Pada setiap Jumaat, beribu-ribu jemaah juga akan membanjiri Masjid India untuk menunaikan solat, sehingga tikar solat jemaah turut memenuhi kawasan pekarangan itu, tambah Encik Hairul Hizwan, 34 tahun, yang mengendalikan sebuah gerai yang menjual kuih Melayu, minuman dan air kelapa.

"Saya hanya boleh bayangkan jika kejadian itu berlaku ketika itu," katanya kepada Mediacorp.

Berikutan kejadian itu, kawasan berkenaan - yang menempatkan beberapa gedung serbaneka dan tukang emas - dijauhi bukan sahaja penduduk tempatan, bahkan juga pelancong.
Hairul Hizwan, 34 tahun, mengendalikan sebuah gerai yang menjual kuih Melayu, minuman dan air kelapa di kawasan Masjid India. (Gambar: Fadza Ishak/CNA)
Cik Noor menarik perhatian bahawa perniagaan di kedainya telah menyusut hampir 90 peratus. "Ini adalah destinasi pelancong di mana beribu-ribu orang (biasanya) datang untuk membeli-belah kerana harganya yang kompetitif," katanya.

Meskipun ia bukan pertama kali lubang tanah jerlus sedemikian muncul di jalan raya tersebut – runtuhan serupa berlaku kira-kira 50 meter jauhnya bulan lalu di hadapan balai polis masyarakat Masjid India – kebimbangan yang meruncing itu dipercayai kerana insiden Jumaat lalu melibatkan seorang mangsa.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang hilang, yang dikenal pasti sebagai Cik Vijayaletchumy, memasuki hari kelima pada Selasa (27 Ogos) dengan pasukan menyelamat melakukan lebih banyak pembilasan di lurang kumbahan atau 'manhole' di sekitar kawasan itu dan mencari loji rawatan Pantai Dalam sejauh 7 kilometer, di mana pembetung tersebut berakhir.

Secara berasingan, satu lagi runtuhan berlaku pada 27 Ogos di pinggir bandar Kuala Lumpur, Kampung Kerinchi, di sepanjang Jalan Pantai Permai, akibat longkang runtuh. Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
Gambar: Fadza Ishak/CNA
ADAKAH DISEBABKAN BATU KAPUR?

Ramai warganet di Malaysia hangat mengongsi hasil dapatan penyelidikan lalu yang menunjukkan bahawa ibu negara Malaysia itu terdedah kepada lubang tanah jerlus, tanah runtuh dan runtuhan batu dek geologinya.

Menurut kajian yang dijalankan pada 2017 oleh para penyelidik dari Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur Universiti Teknologi MARA, Kuala Lumpur mempunyai dua formasi geologi yang berbeza: Formasi Bukit Kenny yang terdiri daripada batuan sedimen, dan Formasi Batu Kapur Kuala Lumpur dengan "konstituen karstik yang sangat tidak menentu".

Pembangunan pesat sejak 158 tahun yang lalu telah membawa kepada "perubahan khusus dalam topografi dan geomorfologi seperti kemunculan lubang tanah jerlus", dedah kajian itu.

Sungguhpun lubang tanah jerlus tidak boleh dicegah sepenuhnya, penulis kajian tersebut menekankan ia boleh diuruskan secara sistematik, seperti dengan memetakan zon bahaya dengan tepat sebelum sebarang pembangunan dijalankan.

ADAKAH KUALA LUMPUR SELAMAT?

Meskipun Datuk Bandar Kuala Lumpur Maimunah Mohd Sharif sudahpun memberi jaminan, persoalan yang berlegar dalam fikiran ramai ialah sama ada Kuala Lumpur – sebuah bandar yang menampung hampir dua juta penduduk – selamat dari segi struktur. Greater Kuala Lumpur, juga dikenali sebagai Klang Valley, mempunyai bilangan penduduk hampir 9 juta orang.
Gambar: Fadza Ishak/CNA
Para pakar yang ditemui Mediacorp bersetuju dengan Dr Maimunah, yang mengatakan bahawa Kuala Lumpur telah dibangunkan sejak sekian lama dan dakwaan bahawa ia tidak selamat untuk pembangunan mesti disokong oleh bukti kukuh.

Sebahagian besar kerja pembinaan Kuala Lumpur harus mematuhi standard tertentu, tegas Dr Lim Choun Sian, penyelidik kanan di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Pasukan bertindak yang merangkumi Jabatan Mineral dan Geosains, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kerja Raya telah ditubuhkan untuk mengkaji keselamatan pembangunan di ibu negara itu, kongsi Dr Maimunah pada Ahad lalu.

BOLEHKAH KEJADIAN SERUPA DICEGAH?

Kejadian Jumaat lalu adalah satu peringatan untuk mematuhi piawaian kejuruteraan yang ketat, serta peluang untuk menilai semula kawasan yang semakin membangun di tengah-tengah perubahan iklim, kata pakar.

Ia menekankan peri pentingnya untuk mematuhi amalan terbaik dalam reka bentuk, pembinaan dan penyelenggaraan utiliti bawah tanah, kata Dr Chiang dari Institusi Jurutera Malaysia (IEM) dalam satu kenyataan pada 25 Ogos.

Beliau memberitahu Mediacorp bahawa pihak berkuasa tempatan khususnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur perlu meneliti pemetaan keadaan tanah menggunakan sonar atau pemetaan geofon, terutamanya di kawasan utama yang mempunyai tumpuan penduduk yang tinggi.
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan