Skip to main content

Dunia

Tambang Laluan RTS akan diumum bersama MOT Malaysia, SG

Anggaran Waktu Membaca:
Tambang Laluan RTS akan diumum bersama MOT Malaysia, SG

Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke ketika meninjau perkembangan projek Laluan RTS Johor Bahru-Singapura di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ), Bukit Chagar, Johor Bahru pada 18 Ogos 2026. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 18 Aug 2026 03:55PM
  • Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Singapura akan mengumumkan kadar tambang Laluan RTS Johor Bahru-Singapura secara bersama dalam masa terdekat.
  • Perbincangan antara RTS Operations Pte Ltd, kerajaan Malaysia dan Singapura kini di peringkat akhir untuk memuktamadkan kadar tambang dan mekanisme pembayaran.
  • Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke, menyatakan kadar tambang akan mengambil kira kepentingan pengguna serta kelestarian operasi jangka panjang.
  • Laluan RTS dijadualkan mula beroperasi pada 1 Januari 2027, menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Woodlands North di Singapura dan mampu membawa 10,000 penumpang sejam setiap arah.
Dijana oleh AI
JOHOR BAHRU: Kadar tambang bagi Laluan Sistem Gerak Cepat (RTS) Johor Bahru-Singapura akan diumumkan secara bersama oleh kementerian pengangkutan Malaysia dan Singapura dalam masa terdekat.

Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke berkata perbincangan mengenai kadar tambang itu setakat ini berjalan lancar dan positif.

Menurut beliau, RTS Operations Pte Ltd (RTSO) kini berada di peringkat akhir perbincangan dengan kerajaan Malaysia dan pemerintah Singapura untuk memuktamadkan kadar tambang serta mekanisme pembayaran Laluan RTS.

"Ini satu projek dua hala. Jadi apa-apa pengumuman rasmi berkenaan tarikh utama untuk pengoperasian dan juga tambang akan dibuat secara bersama oleh Menteri Pengangkutan Malaysia dan Singapura," kata Encik Loke pada Selasa (18 Ogos).

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan meninjau kemajuan projek dan kesiapsiagaan operasi Laluan RTS di Stesen Laluan RTS Bukit Chagar.

Menurut Encik Loke, RTSO mengambil pendekatan seimbang dalam menetapkan kadar tambang dengan mengambil kira kepentingan pengguna, kemampanan operasi jangka panjang serta nilai perkhidmatan rel rentas sempadan itu.

Encik Loke sebelum ini dilaporkan berkata kadar tambang dijangka dimuktamadkan pada suku ketiga tahun ini.

Beliau turut menyatakan rasa puas hati dengan kemajuan fizikal dan tahap keselesaan Laluan RTS selepas meninjau projek itu.

Laluan RTS dijadualkan mula beroperasi pada 1 Januari 2027 dan dijangka mampu membawa sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah.

Sistem itu menghubungkan Stesen Laluan RTS Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Woodlands North di Singapura.
Sumber : Bernama/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita