Skip to main content

Dunia

Taman Negara Thailand ditutup selepas wanita mati diserang gajah liar

Anggaran Waktu Membaca:
Taman Negara Thailand ditutup selepas wanita mati diserang gajah liar

Gambar: Taman Negara Phu Kradueng/Facebook

Diterbitkan : 13 Dec 2024 05:25PM Dikemas Kini : 13 Dec 2024 05:27PM
LOEI: Sebuah taman negara di utara Thailand ditutup buat sementara waktu mulai Jumaat (13 Dis) selepas seekor gajah liar membunuh seorang wanita warga Thailand berusia 49 tahun.

Serangan gajah pada Rabu (11 Dis) adalah yang pertama di Taman Negara Phu Kradueng di wilayah timur laut Loei, kira-kira lapan jam perjalanan dari Bangkok.

“Ini adalah insiden pertama yang direkodkan berhubung serangan gajah ke atas pelancong di kawasan ini,” kata pegawai polis tempatan, seperti yang dipetik oleh akhbar tempatan Khaosod English.

Dalam catatan Facebook pada Khamis malam, taman negara itu menyatakan bahawa seekor gajah liar telah dikesan di laluan yang digunakan oleh pelancong, dan taman tersebut menutup buat sementara waktu semua tarikan pelancong dan kem di taman itu demi keselamatan pelancong dan bagi mengelakkan kemungkinan berlaku kerosakan harta benda. Sebuah kawasan di kaki bukit masih dibuka kepada pelancong, katanya.

Mangsa dikenali sebagai Jeeranun yang berasal dari wilayah Chachoengsao di timur Bangkok.

Menurut laporan media tempatan, Jeeranun sedang mendaki bersama seorang rakannya di denai menuju ke Air Terjun Phen Phop Mai dari tapak perkhemahannya.

Pattaya Mail melaporkan bahawa gajah itu menyerang wanita itu sebanyak dua kali. Para pelawat memaklumkan renjer taman tersebut mengenai serangan itu pada pukul 9.47 pagi Rabu dan renjer mendapati Jeeranun sudah mati apabila mereka tiba di tempat kejadian.

Menurut laman The Nation, pegawai taman berkata serangan itu berlaku di kawasan di mana gajah liar sering mencari makanan. Terdapat beberapa tanda amaran yang menasihatkan orang ramai supaya menjauhi kawasan itu, menurut mereka.

Selepas kejadian itu, Jabatan Taman Negara, Pemuliharaan Hidupan Liar dan Tumbuhan (DNP) melaksanakan beberapa protokol keselamatan termasuk penutupan semua denai di mana gajah liar dikesan, pengerahan renjer tambahan dan penutupan sementara semua denai menuju ke tarikan air terjun.

Ia pada mulanya mengekalkan akses ke laluan semula jadi biasa, tetapi menutup sementara Phu Kradueng selepas mendapati gajah liar terus berkeliaran di sekitar tempat kejadian.

Dalam catatan Facebooknya, Taman Negara Phu Kradueng menyatakan ia akan membayar balik semua pembayaran dan berhubung terus dengan pelawat yang terjejas, termasuk pelancong yang telah menempah tempat penginapan mereka.

Taman itu akan dibuka semula "apabila keadaan kembali normal" dan notis awal akan dimuat naik ke halaman Facebooknya.

"(DNP) telah bekerjasama dengan Pusat Penyelidikan Hidupan Liar dan Veterinar untuk menyiasat keadaan gajah liar (yang membunuh wanita itu)," kata taman itu di Facebook, sambil menambah bahawa adalah luar biasa untuk gajah muncul pada waktu siang.

The Nation melaporkan bahawa para pegawai sedang giat menghalang gajah berkenaan daripada mendekati kawasan-kawasan berpenduduk.

Menurut Bangkok Post, lebih 700 pelawat diberitahu untuk meninggalkan gunung itu padai Khamis.

Taman Negara Phu Kradueng terkenal dengan pelancong domestik kerana tanah tinggi dan iklimnya yang sejuk. Kawasan berhampiran air terjun Phen Phop Mai terkenal dengan daun maple merah dan tarikan utama bagi pelawat yang gemar mengambil gambar di sana.

Menurut The Nation, taman itu telah dibuka kepada pelancong selama lebih dua bulan pada tahun ini. Ia dibuka pada 1 Oktober dan pada asalnya dijadualkan beroperasi sehingga 31 Mei tahun depan.

Laluan mendaki menuju ke puncak gunung ditutup setiap tahun semasa musim kemarau berikutan bahaya yang ditimbulkan oleh gajah liar yang berkumpul di kawasan itu untuk minum air, lapor media tempatan.

Memetik statistik daripada DNP, Yayasan Heinrich Boll melaporkan pada Disember lalu bahawa sekurang-kurangnya 150 orang di Thailand mati akibat gajah liar dalam tempoh enam tahun lalu dan lebih 133 orang cedera.

Sementara itu, lebih 92 ekor gajah telah dibunuh, menurut artikel itu.
Sumber : AGENCIES/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita