Skip to main content

Dunia

Taman ekologi, trek daki hutan simpanan Johor dibuka semula mulai 15 Jan

Anggaran Waktu Membaca:

JOHOR BAHRU: Kesemua Taman Eko Rimba, Hutan Taman Negeri, trek pendakian dan laluan kenderaan pacuan empat roda (4×4) di dalam hutan simpanan kekal (HSK) di Johor, dibuka semula kepada orang awam mulai Ahad (15 Jan). 

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) Salim Aman berkata orang ramai diingatkan sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah keselamatan sekiranya terdapat perubahan cuaca atau keadaan persekitaran. 

"Bagi trek pendakian dan laluan sukan lasak serta aktiviti di dalam HSK, perlu membuat permohonan permit memasuki hutan simpan di Pejabat Hutan yang berkaitan," katanya menerusi notis yang dimuat naik ke Facebook rasmi jabatan itu.

Menurutnya lagi, Taman Eko Rimba terlibat adalah Sungai Bantang dan Taka Merloh di Labis; Gunung Pulai 1 dan Gunung Pulai 2 di Kulai; Gunung Belumut di Kluang; Soga Perdana di Batu Pahat; Panti di Kota Tinggi dan Gunung Arong di Mersing.

Trek pendakian pula adalah Gunung Arong dan Gunung Janing di Mersing; Gunung Chemendong, Gunung Gua Rimau dan Gunung Belumut di Kluang; Gunung Sumalayang, Gunung Muntahak, Gunung Panti Timur, Gunung Panti Barat, Batu Tenggek dan Pelepah Kiri @ Bukit Sisek di Kota Tinggi.

Selain itu, Gunung Banang, Gunung Moakil, Bukit Bindu, Bukit Inas, Bukit Botak, Bukit Payung dan Bukit Berdiri di Batu Pahat; Gunung Bekok di Segamat dan Gunung Pulai di Kulai juga merupakan trek pendakian yang dibuka kepada orang awam mulai Ahad ini.

Pada 17 Disember 2022, JPNJ mengeluarkan arahan penutupan lokasi berkenaan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang kejadian atau kemalangan tidak diingini berlaku, berikutan musim tengkujuh.

Malaysia baru-baru ini dikejutkan dengan tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Batang Kali, Gohtong Jaya, Selangor, membabitkan 92 mangsa dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 lagi terkorban.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita