Skip to main content

Dunia

Taman di Sabah diarah tutup serta-merta selepas serangan kumpulan memerang

Anggaran Waktu Membaca:
Taman di Sabah diarah tutup serta-merta selepas  serangan kumpulan memerang

Gambar fail memerang laut yang sedang berehat di bawah sebuah pohon di Sungei Buloh di Singapura. (GAMBAR: AFP/ROSLAN RAHMAN)

Diterbitkan : 12 Sep 2024 08:30AM Dikemas Kini : 12 Sep 2024 08:32AM

KOTA KINABALU: Operasi di Taman Perdana Tanjung Aru diarah tutup serta-merta selepas notis dikeluarkan pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Penutupan itu susulan insiden serangan kumpulan memerang terhadap orang awam yang sedang berlari-lari anak di taman itu pada Rabu (11 Sep), lapor Sinar Harian.

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Sabin Samitah berkata, DBKK telah mengeluarkan notis pemakluman itu kepada pengusaha taman tersebut.

"Langkah penutupan ini diambil bagi menjamin keselamatan pengunjung dan memberi laluan kepada pihak DBKK, dengan kerjasama agensi berkaitan untuk menjalankan siasatan lanjut.

"DBKK memandang serius insiden ini dan bertindak segera mengarahkan penutupan Taman Perdana Tanjung Aru bagi mengelakkan sebarang insiden lain yang tidak diingini," katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar mematuhi arahan penutupan itu bagi memastikan keselamatan bersama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, mangsa mengalami kecederaan pada tubuh badan akibat digigit dan dicakar haiwan tersebut, seperti dinukil laporan Sinar Harian.

Katanya, ketika kejadian, dua wanita masing-masing berusia 40 dan 54 tahun serta seorang lelaki berusia 56 tahun sedang berlari-lari anak.

"Ketiga-tiga mangsa yang sedang berlari-lari anak telah diserang secara tiba-tiba oleh sekumpulan memerang dari arah belakang.


"Kesemua mangsa mengalami kecederaan di bahagian kaki, tangan dan kepala akibat gigitan dan cakaran haiwan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Rabu malam.

Bagaimanapun, Encik Kasim berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan polis berkaitan kes tersebut.

Akhbar tempatan Malaysia sebelum ini melaporkan, pihak Jabatan Hidupan Liar Sabah mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian serangan melibatkan kumpulan haiwan tersebut di sebuah pusat rekreasi di Tanjung Aru.

Siasatan awal mendapati kumpulan memerang itu telah memasuki taman rekreasi itu untuk mencari makanan di kolam taman tersebut.

Sumber : Agensi berita/AA/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita