Taman Bijak Guangzhou SG-China sediakan platform bagi syarikat tembusi pasaran
(Gambar: CapitaLand)
GUANGZHOU: Sebuah Taman Bijak baru yang dibangunkan Singapura dan China di Guangzhou sedang mempercepatkan rancangan untuk membantu lebih banyak perniagaan berkembang di wilayah selatan China.
Ini selepas terdapat minat meningkat menyusuli pembukaan semula sempadan China pasca pandemik.
Perdana Menteri Lee Hsien Loong melakukan lawatan ke taman itu pada Selasa (28 Mac), yang juga sebahagian daripada projek Bandar Ilmu Guangzhou (GKC) yang dibangunkan bersama oleh kedua-dua negara.
Taman Bijak China-Singapura bertujuan menyediakan platform dan pelbagai khidmat kepada syarikat yang ingin membangun di bahagian selatan China.
Ia menyediakan kemudahan pejabat serta kontak yang amat diperlukan, termasuk dengan pihak berkuasa.
Lebih 60 syarikat sudah ditubuhkan di taman itu sejak ia dibuka pada Jun tahun lalu.
Perdana Menteri Lee mengunjungi kemudahan itu sebagai sebahagian daripada lawatan enam hari beliau ke China.
Taman itu terletak di Bandar Ilmu Guangzhou iaitu satu kerjasama peringkat negara antara Singapura dan China.
Taman itu juga berharap untuk menarik firma-firma di bidang ekonomi digital, pembangunan hijau dan bioperubatan.
Ini sedang China ingin meningkatkan ekonominya setelah ia membuka semula sempadan serta memasuki fasa endemik.
Taman berkenaan juga sedang mempergiatkan pelan pembangunan prasarana dengan membuka fasa kedua pada pertengahan tahun ini, dan bukannya pada Oktober.
Ia juga ingin mempercepatkan program untuk membantu mengurangkan kos bagi membuka syarikat di China.
Semasa lawatannya, PM Lee juga berkunjung ke tapak-tapak lain di dalam Bandar Ilmu.
Ini adalah lawatan pertama beliau ke Guangzhou, ibu kota wilayah Guangdong, sejak 2014.
Wilayah itu dilihat sebagai penjana utama ekonomi China, serta penyumbang GDP tertinggi ke negara itu, iaitu sekitar AS$1.9 trilion (S$2.5 trilion) tahun lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.