Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Taliban umum pemerintah sementara diketuai Mullah Mohammad Hassan Akhund

Taliban mengumumkan barisan kabinetnya dalam pemerintah baru Afghanistan pada Selasa (7 Sep) dengan pemimpin veteran yang disenarai hitam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mullah Mohammad Hassan Akhund dilantik sebagai ketua.

Anggaran Waktu Membaca:
Taliban umum pemerintah sementara diketuai Mullah Mohammad Hassan Akhund

Perdana Menteri Pakistan Nawaz Sharif menyambut Menteri Luar Afghanistan Mullah Mohammad Hassan Akhund (kanan) di Islamabad pada pada 26 Ogos 1999. (Gambar fail: SAEED KHAN / AFP)

Diterbitkan : 08 Sep 2021 08:07AM Dikemas Kini : 08 Sep 2021 10:44AM

KABUL: Taliban mengumumkan barisan kabinetnya dalam pemerintah baru Afghanistan pada Selasa (7 Sep) dengan pemimpin veteran yang disenarai hitam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mullah Mohammad Hassan Akhund dilantik sebagai ketua di samping melantik beberapa pemimpin tertinggi mereka ke jawatan utama.

Namun, sedang Taliban beralih status daripada kumpulan pemberontak kepada sebuah pemerintah, pegawai keselamatan bergelut dengan meningkatnya bantahan terhadap pemerintahan kumpulan itu.

Ketua jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid dalam sidang media mengumumkan Mullah Mohammad Hassan Akhund, seorang menteri kanan semasa pemerintahan Taliban pada tahun-tahun 1990-han dilantik Pemangku Perdana Menteri.

Beliau turut memaklumkan pengasas bersama Taliban, iaitu Abdul Ghani Baradar sebagai timbalan Mohammad Hassan.

Anak kepada pengasas Taliban dan bekas pemimpin tertingginya, Allahyarham Mullah Omar, iaitu Mullah Yaqoob pula dilantik sebagai Menteri Pertahanan, manakala jawatan Menteri Dalam Negeri diserahkan kepada ketua rangkaian Haqqani yang digeruni, Sirajuddin Haqqani.

Sementara itu, perunding Taliban yang berpangkalan di Doha, Amir Khan Muttaqi yang juga anggota Kabinet rejim pertama dinamakan sebagai Menteri Luar.

Taliban telah menjanjikan pemerintahan inklusif mewakili pelbagai etnik Afghanistan yang kompleks, namun semua jawatan tertinggi diserahkan kepada pemimpin utama dari pergerakan itu dan rangkaian Haqqani - cabang paling digeruni dalam Taliban.

Tidak seorangpun wanita dilantik dalam pemerintah baru itu.

"Kabinet ini masih belum lengkap. Mereka hanya bertindak sebagai pemangku.

"Kami akan cuba membawa individu-individu dari bahagian lain negara ini," kata Zabiullah Mujahid di Pusat Maklumat dan Media Pemerintah di Kabul.

Tidak lama selepas barisan pemerintah itu diumumkan, pemimpin agung Taliban, Hibatullah Akhundzada yang tidak pernah tampil di khalayak ramai mengeluarkan kenyataan bahawa pemerintah baru itu "akan berusaha ke arah menegakkan hukum Islam dan undang-undang syariah".

Taliban yang kembali berkuasa sejak Ogos sememangnya dijangka mengumumkan pembentukan pemerintah apabila pemindahan pentadbiran yang diketuai Amerika Syarikat selesai pada hujung bulan lalu.

Kumpulan itu yang beralih status daripada kumpulan pemberontak kepada sebuah pemerintah, mempunyai pelbagai isu utama yang harus ditangani termasuk krisis kewangan dan kemanusiaan yang semakin teruk. 

Sumber : AFP/SU/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan