Skip to main content

Dunia

Taliban tidak lanjutkan gencatan senjata, 18 terkorban dalam serangan nekad

Serangan nekad di bahagian timur Afghanistan yang bergolak meragut sekurang-kurangnya 18 nyawa hari ini (17 Jun). Semasa serangan dilancarkan, kawasan berkenaan sedang sesak dengan para penduduk yang sedang meraikan Lebaran.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 17 Jun 2018 10:23PM Dikemas Kini : 18 Jun 2018 03:13PM

KABUL: Serangan nekad di bahagian timur Afghanistan yang bergolak meragut sekurang-kurangnya 18 nyawa hari ini (17 Jun). Semasa serangan dilancarkan, kawasan berkenaan sedang sesak dengan para penduduk yang sedang meraikan Lebaran.

Tiada pihak mengakui bertanggungjawab ke atas serangan nekad di Bandar Jalalabad, luar sebuah pejabat gabenor wilayah Nangarhar.

ISIS, yang tidak mengambil bahagian dalam pelucutan senjata, sebelum ini mengakui bahawa ia mendalangi satu serangan maut di bandar itu pada hari sebelumnya.

Insiden tadi memudarkan lagi harapan untuk mencapai keamanan dalam tempoh gencatan senjata semasa Aidilfitri. Taliban mengumumkan bahawa ia tidak akan melanjutkan lagi pelucutan senjatanya selepas malam Ahad (17 Jun).

Pengarah Kesihatan Wilayah Najibullah Kamawal mengatakan bahawa angka kematian dalam serangan hari ini (17 Jun) mencecah 18 orang. 49 lagi cedera.

"Mereka yang cedera, ada yang dalam keadaan kritikal," kata Encik Kamawal sambil menambah bahawa angka kematian dijangka terus meningkat.

Jurucakap Gabenor Attaullah Khogyani berkata 14 orang terbunuh dan 45 cedera selepas pengebom nekad melancarkan serangan. Pengebom itu meletupkan dirinya di tengah-tengah orang ramai terdiri daripada anggota Taliban, warga tua tempatan dan orang awam yang sedang meninggalkan pekarangan pejabat gabenor untuk menghadiri acara khas Aidilfitri.

Sekurang-kurangnya 36 orang terkorban dalam serangan pada hari sebelumnya yang dilakukan sedang anggota Taliban, pasukan keselamatan dan orang awam berkumpul. 65 lagi cedera, tambah Encik Kamawal.

Kumpulan ISIS di Afghanistan mengaku mendalangi serangan itu.

Jurucakap kumpulan Taliban Zabihullah Mujahid mengumumkan keputusan untuk meneruskan pertempuran selepas Presiden Ashraf Ghani mengatakan bahawa gencatan senjata kerajaan dengan para militan akan dilanjutkan. Presiden Ashraf Ghani meminta kumpulan itu membalasnya.

"Pelucutan senjata berakhir malam ini, dan operasi kami akan diteruskan. Kami tidak berniat untuk melanjutkan gencatan senjata itu," kata Encik Mujahid menerusi kiriman WhatsApp.

Beliau, bagaimanapun, tidak merujuk kepada pengumuman Presiden Ashraf Ghani.  

Sumber : AFP/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita