Taliban pamer aset tentera AS raikan kemenangan
Sebuah helikopter Black Hawk terbang di ruang udara bandar kelahiran Taliban di Kandahar, selatan Afghanistan pada Rabu (1 Sep)manakala aset tentera Amerika Syarikat (AS) yang dirampas dipamerkan dalam satu perarakan bagi meraikan kemenangan kumpulan itu pada 15 Ogos lalu.

Sebuah helikopter Black Hawk terbang di ruang udara bandar kelahiran Taliban di Kandahar, selatan Afghanistan, pada 1 Sep 2021. (Gambar: AFP)
KANDAHAR: Sebuah helikopter Black Hawk terbang di ruang udara bandar kelahiran Taliban di Kandahar, selatan Afghanistan pada Rabu (1 Sep)manakala aset tentera Amerika Syarikat (AS) yang dirampas dipamerkan dalam satu perarakan bagi meraikan kemenangan kumpulan itu pada 15 Ogos lalu.
Beberapa anggota dilihat berdiri di atas Humvee, dengan deretan kenderaan hijau berbaris di sepanjang lebuh raya di luar bandar kedua terbesar Afghanistan itu dengan kebanyakannya dipasang bendera putih hitam Taliban.
Perarakan kemenangan itu merupakan kemuncak kepada pengunduran sepenuhnya tentera AS dari Afghanistan, sekali gus menamatkan konflik selama 20 tahun.
Sebahagian besar senjata milik tentera AS dan pertubuhan Perjanjian Atlantik (NATO) turut kelihatan dalam perarakan itu, dengan dikawal anggota Taliban dengan selebihnya menaiki kenderaan lain di Ayno Maina, bandar di pinggir bandar berkenaan.
Trak pikap dipenuhi penyokong berjalan melepasi konvoi kenderaan tentera, ada di antaranya lengkap bersenjata berat dan mesingan.
Sekurang-kurangnya sebuah helikopter Black Hawk dilihat terbang di ruang udara Kandahar, dipercayai dikendalikan seorang bekas anggota tentera Afghanistan kerana Taliban kurang juruterbang berkelayakan.
Kandahar adalah wilayah utama etnik Pashtun dan tempat kelahiran Taliban yang ditubuhkan pada 1996. Menjelang 2001, ketika pasukan tentera diketuai AS menyerang Afghanistan, Taliban sudah menguasai hampir keseluruhan negara itu.
Di Lapangan Kriket Kandahar, ratusan orang berkumpul untuk mendengar ucapan memuji Taliban berikutan kemenangan mereka ke atas AS. Pemimpin Taliban pula duduk di atas kerusi sambil menunggu perarakan itu bermula.
Pemimpin agung Taliban, Hibatullah Akhundzada, tinggal di Kandahar, kata kumpulan itu pada Ahad lalu, selepas beberapa tahun dalam persembunyian.
Khabar angin tersebar mengatakan beliau akan membuat kemunculan pada Rabu, namun ia tidak menjadi dan sebaliknya gabenor baru bandar itu menyampaikan ucapan kepada hadirin.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.