Taliban lepaskan tembakan surai wanita tunjuk perasaan di Kabul
Taliban hari ini (30 Sep) menggunakan kekerasan untuk meleraikan satu tunjuk perasaan kecil bagi hak asasi wanita, dengan melepaskan tembakan ke udara serta menolak para penunjuk perasaan, menurut para wartawan AFP yang menyaksikan keadaan itu.

Anggota Taliban suraikan sekumpulan wanita yang adakan tunjuk perasaan di Kabul, Afghanistan pada 30 Sep 2021 (Gambar: AFP)
KABUL: Taliban hari ini (30 Sep) menggunakan kekerasan untuk meleraikan satu tunjuk perasaan kecil bagi hak asasi wanita, dengan melepaskan tembakan ke udara serta menolak para penunjuk perasaan, menurut para wartawan AFP yang menyaksikan keadaan itu.
Sekumpulan enam wanita berhimpun di luar sebuah sekolah tinggi di timur Kabul dan menuntut hak gadis-gadis untuk kembali ke sekolah menengah, setelah Taliban melarang mereka daripada memasuki bilik darjah awal bulan ini.
Wanita-wanita itu membawa kain rentang yang tertera: "Jangan patahkan pena kami, jangan bakar buku kami, jangan tutup sekolah kami", sebelum para pengawal Taliban merampasnya dari mereka.
Mereka kemudian menolak para penunjuk perasaan apabila kumpulan wanita itu cuba meneruskan bantahan, sementara seorang wartawan asing dipukul dengan senapang dan disekat daripada melakukan penggambaran.
Seorang anggota bersenjata Taliban juga melepaskan tembakan ke udara menggunakan senjata automatiknya, kata para wartawan AFP.
Para penunjuk perasaan tersebut - daripada kumpulan yang dipanggil "Gerakan Spontan Aktivis Wanita Afghanistan" - mencari perlindungan di dalam sekolah.
Pengawal Taliban Mawlawi Nasratullah, yang mengetuai kumpulan itu dan memperkenalkan dirinya sebagai ketua pasukan khas di Kabul, berkata para penunjuk perasaan "tidak memaklumkan kepada pihak berkuasa keselamatan mengenai tunjuk perasaan mereka".
"Mereka berhak melakukan tunjuk perasaan di negara kami seperti di negara-negara lain. Tetapi mereka mesti memaklumkan institusi keselamatan terlebih dahulu," katanya.
Tunjuk perasaan yang diadakan secara berasingan dengan wanita di barisan hadapan diadakan di bandar-bandar di seluruh negara setelah Taliban merampas kuasa, termasuk di kota barat Herat di mana dua orang ditembak mati.
Namun bilangan tunjuk perasaan berkurangan sejak pemerintah mengeluarkan perintah, yang tidak membenarkan tunjuk perasaan dan memberi amaran "tindakan tegas undang-undang" ke atas mereka yang melanggarnya.
Sejauh ini sudah hampir dua minggu kanak-kanak perempuan dilarang kembali ke sekolah menengah.
Taliban mengikut tafsiran tegar undang-undang Shariah yang memisahkan lelaki dan wanita serta mengurangkan akses wanita kepada pekerjaan.
Menurut Taliban, mereka perlu mewujudkan keadaan yang sewajarnya sebelum kanak-kanak perempuan dapat kembali bersekolah, tetapi ramai warga Afghanistan berasa sangsi.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.