Taliban lantik 44 anggota jadi gabenor, ketua polis merata Afghanistan
Taliban melantik 44 anggotanya untuk menyandang jawatan-jawatan penting termasuk gabenor wilayah dan ketua polis pada Ahad (7 Nov). Ini satu langkah penting dalam menyokong tadbir urusnya sedang negara itu bergelut dengan masalah keselamatan dan ekonomi yang semakin genting.

Anggota Taliban berkawal di Kabul, Afghanistan, pada 20 Oktober 2021. (Gambar fail: WAKIL KOHSAR/AFP)
KABUL: Taliban melantik 44 anggotanya untuk menyandang jawatan-jawatan penting termasuk gabenor wilayah dan ketua polis pada Ahad (7 Nov).
Ini satu langkah penting dalam menyokong tadbir urusnya sedang negara itu bergelut dengan masalah keselamatan dan ekonomi yang semakin genting.
Ia adalah pelantikan beramai-ramai pertama yang diumumkan sejak kabinet dibentuk pada September.
Taliban mengeluarkan senarai jawatan baru anggotanya, termasuk Qari Baryal yang berkhidmat sebagai gabenor Kabul dan Wali Jan Hamza sebagai ketua polis bandar itu.
Komander bertanggungjawab ke atas keselamatan Kabul sebelum ini, iaitu Mawlawi Hamdullah Mukhlis, terbunuh bulan ini dalam serangan ke atas hospital tentera terbesar Afghanistan di pusat bandar Kabul.
Taliban mengambil alih negara itu pada 15 Ogos tetapi berdepan dengan cabaran besar dalam janji mereka untuk memulihkan ketenteraman dan keselamatan selepas peperangan yang berpuluh tahun lamanya. ISIS melancarkan beberapa serangan di merata negara, manakala ekonomi menjunam ke dalam krisis.
Terdapat gesaan antarabangsa agar kumpulan itu berunding dengan pemain politik lain untuk membentuk pemerintah inklusif termasuk minoriti dan wanita, walaupun kemajuan ketara dalam hal tersebut setakat ini belum dapat dilihat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.