Taliban di Afghanistan dakwa serang tempat persembunyian militan di Pakistan
Pasukan Afghanistan melancarkan "serangan udara" ke atas tempat persembunyian kumpulan militan Islam di dua wilayah Pakistan, menurut Kementerian Pertahanan Taliban Afghanistan pada Jumaat (19 Jun), sekali gus mencetuskan ketegangan baharu antara kedua-dua negara jiran itu beberapa bulan selepas mereka terlibat dalam konflik paling buruk dalam tempoh beberapa tahun.
Seorang penduduk Afghanistan meninjau-ninjau runtuhan sebuah rumah yang rosak akibat serangan udara Pakistan di daerah Shultan, wilayah Kunar, pada 10 Jun 2026. (Gambar fail: AFP/Aimal Zahir)
Tempat persembunyian tersebut yang terletak di wilayah Balochistan dan Khyber Pakhtunkhwa di Pakistan, yang kedua-duanya berkongsi sempadan dengan Afghanistan, menjadi sasaran "angkatan udara" Afghanistan pada Khamis malam, menurut kementerian itu menerusi satu catatan di X.
Kementerian itu tidak menjelaskan bagaimana serangan tersebut - yang merupakan serangan besar pertama Kabul dalam tempoh beberapa bulan - dilaksanakan.
Afghanistan tidak memiliki pesawat pejuang, namun diketahui mempunyai sekurang-kurangnya enam pesawat dan 23 helikopter, menurut data Institut Kajian Strategik Antarabangsa yang berpangkalan di London.
Pasukan Taliban juga diketahui memiliki dron yang pernah digunakan dalam pertempurannya dengan Pakistan.
"Pangkalan-pangkalan ini, yang dikatakan digunakan dengan kerjasama pihak perisikan tertentu yang bermusuhan untuk merancang dan menyusun serangan terhadap Afghanistan, sebelum ini menjadi lokasi persiapan bagi beberapa serangan maut," menurut kenyataan itu.
"Menurut maklumat awal, operasi tersebut berjaya menyasarkan sasaran utama yang telah dikenal pasti," tambahnya, tanpa memberikan butiran mengenai jumlah korban bagi serangan tersebut.
Tentera Pakistan dan Kementerian Penerangan negara itu tidak segera memberi maklum balas terhadap permintaan untuk mendapatkan komen.
Konflik antara Pakistan dengan Afghanistan, yang dahulunya merupakan sekutu satu sama lain tetapi kini bermusuhan, telah mengorbankan ratusan nyawa tahun ini, manakala usaha untuk meredakan ketegangan dengan China menjadi orang tengah, setakat ini belum membuahkan hasil.
Islamabad menuduh Kabul melindungi anggota militan yang dituduh merancang serangan di Pakistan, namun Taliban Afghanistan menyangkal tuduhan tersebut dan menyatakan kegiatan kumpulan bersenjata merupakan masalah dalaman Pakistan.
Pakistan melancarkan serangan udara ke atas beberapa wilayah Afghanistan minggu lalu, yang menurut Taliban Afghanistan mengorbankan sekurang-kurangnya 13 orang, termasuk 11 kanak-kanak, serta mencederakan 14 yang lain.
Islamabad pula menyatakan, "serangan yang diselaraskan" itu mengorbankan 26 anggota militan dan dilancarkan sebagai tindak balas terhadap siri serangan yang berlaku baru-baru ini di barat laut negara tersebut.
"Afghanistan tidak akan bertolak ansur lagi terhadap sebarang ancaman kepada keselamatan dan kestabilannya. Ia akan menggunakan segala cara dan keupayaan yang ada untuk mengamankan serta menghapuskan sebarang ancaman dari puncanya," menurut Kementerian Pertahanan Taliban Afghanistan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.