Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Taliban dakwa musnahkan tempat persembunyian ISIS di Kabul

Taliban pada Isnin (4 Okt) mengumumkan pihaknya telah memusnahkan tempat persembunyian ISIS di ibu kota Afghanistan, lapor Agensi Anadolu.

Anggaran Waktu Membaca:
Taliban dakwa musnahkan tempat persembunyian ISIS di Kabul

(Gambar: Agensi berita)

Diterbitkan : 04 Oct 2021 09:01PM Dikemas Kini : 04 Oct 2021 09:09PM

ISLAMABAD: Taliban pada Isnin (4 Okt) mengumumkan pihaknya telah memusnahkan tempat persembunyian ISIS di ibu kota Afghanistan, lapor Agensi Anadolu.

Zabihullah Mujahid, jurucakap kumpulan itu dan pemangku timbalan menteri penerangan dan kebudayaan, berkata tempat persembunyian itu terletak di daerah Kher Khana, utara Kabul.

Menurutnya, hasil operasi yang "tegas dan berjaya", pusat ISIS itu musnah sepenuhnya dan kesemua anggota mereka yang berada di dalamnya juga terbunuh. Beliau bagaimanapun tidak memberikan jumlah yang terkorban.

Sementara itu, kumpulan ISIS-Khorasan (ISIS-K), mengaku bertanggung jawab ke atas serangan di wilayah timur Nangarhar pada Ahad (3 Okt) yang meragut nyawa dua anggota Taliban dan seorang wartawan.

Menerusi laman propaganda Amaq, ISIS juga mendakwa mendalangi serangan pada Sabtu (2 Okt) ke atas pasukan ronda Taliban di bandar Charikar wilayah Parwan menyebabkan 10 orang terkorban.

Pada Sabtu (2 Okt) juga, sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dan 20 yang lain cedera apabila bom meletup berhampiran pintu masuk Masjid Eidgah di Kabul.

Ketika kejadian, orang ramai berkumpul di masjid itu bagi majlis solat dan doa untuk arwah ibu Mujahid, yang meninggal dunia pada minggu lalu.

Tiada ada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu, tetapi Mujahid membayangkan pelibatan Daesh dalam letupan itu. 

Sumber : Bernama/RB/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan