Taliban bincang perdagangan dalam mata wang tempatan dengan Rusia, China
Pentadbiran Taliban kini dalam peringkat akhir rundingan dengan Rusia bagi membolehkan bank dari kedua-dua ekonomi yang dikenakan sekatan untuk menyelesaikan urus niaga dagangan bernilai ratusan juta dolar dalam mata wang tempatan masing-masing, kata pemangku Menteri Perdagangan Afghanistan.
Pemangku Menteri Perdagangan Taliban, Haji Nooruddin Azizi, semasa sesi temu bual bersama Reuters di Kedutaan Afghanistan di Beijing, China, pada 19 Oktober 2023. (Gambar: REUTERS/Tingshu Wang)
Pemerintah Afghanistan juga mengemukakan cadangan serupa kepada China, menurut menteri tersebut, Haji Nooruddin Azizi, kepada Reuters pada Khamis (22 Mei). Beberapa perbincangan telah diadakan dengan kedutaan China di Kabul, katanya.
Cadangan dengan Rusia, menurut Encik Azizi, sedang diusahakan pasukan teknikal dari kedua-dua negara. Langkah tersebut diambil sedang Mosko memberi tumpuan terhadap penggunaan mata wang nasional bagi mengurangkan kebergantungan kepada matawang dolar, manakala Afghanistan pula berdepan dengan kejatuhan mendadak dari segi mata wang Amerika Syarikat yang memasuki negara itu disebabkan oleh pengurangan bantuan.
“Kami sedang mengadakan perbincangan khusus berhubung perkara ini, mengambil kira perspektif ekonomi serantau dan global, sekatan, serta cabaran yang sedang dihadapi Afghanistan dan juga Rusia. Perbincangan teknikal sedang berlangsung,” kata Encik Azizi dalam satu temu bual di pejabatnya di Kabul.
Kementerian Luar China dan bank pusat Rusia tidak memberikan maklum balas segera kepada permintaan komen.
Encik Azizi menambah bahawa perdagangan dua hala tahunan antara Rusia dan Afghanistan kini berjumlah sekitar AS$300 juta (S$386.1 juta) dan dijangka meningkat dengan ketara apabila kedua-dua pihak mempertingkatkan pelaburan masing-masing. Beliau menjangkakan Afghanistan akan membeli lebih banyak produk petroleum dan plastik dari Rusia.
“Saya yakin ini merupakan pilihan yang sangat baik … kami boleh memanfaatkan pilihan ini demi kepentingan rakyat dan negara kami,” kata Encik Azizi.
“Kami juga mahu mengambil langkah serupa dengan China,” tambahnya, sambil mengatakan bahawa perdagangan antara Afghanistan dan China bernilai sekitar AS$1 bilion (S$1.29 bilion) setahun. “Satu pasukan kerja yang terdiri daripada anggota Kementerian Perdagangan (Afghanistan) dan kedutaan China, iaitu badan berkuasa yang mewakili China dalam program ekonomi, telah dibentuk dan perbincangan sedang berlangsung.”
Sektor kewangan Afghanistan sebahagian besarnya terputus daripada sistem perbankan global akibat sekatan yang dikenakan ke atas beberapa pemimpin Taliban, yang mengambil alih kuasa pada 2021 selepas pengunduran tentera asing.
Persaingan dengan China dan kesan daripada perang Rusia di Ukraine telah menimbulkan persoalan baharu terhadap kedudukan dolar Amerika sebagai mata wang dominan dunia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada Disember lalu, Presiden Rusia Vladimir Putin mempersoalkan keperluan untuk menyimpan rizab negara dalam mata wang asing memandangkan ia mudah dirampas atas sebab politik, sambil berkata bahawa pelaburan domestik bagi rizab tersebut adalah lebih menarik.
Dolar sebelum ini menguasai perdagangan komoditi, membolehkan Washington menyekat akses pasaran bagi negara pengeluar seperti Rusia, Venezuela dan Iran.
Sejak 2022, Afghanistan mengimport gas, minyak dan gandum dari Rusia menerusi perjanjian ekonomi utama pertama negara itu selepas Taliban kembali berkuasa dan berdepan pengasingan antarabangsa susulan konflik dengan tentera pimpinan Amerika Syarikat sepanjang dua dekad.
Pemotongan bantuan bernilai berbilion dolar kepada Afghanistan, yang diperhebat tahun ini oleh Amerika Syarikat, menyebabkan jumlah dolar yang dibawa masuk secara tunai bagi operasi kemanusiaan semakin berkurangan.
Agensi pembangunan dan ahli ekonomi berkata mata wang Afghani setakat ini kekal stabil, tetapi mungkin berdepan cabaran pada masa akan datang.
Encik Azizi berkata kestabilan mata wang tersebut serta usaha pentadbirannya untuk meningkatkan pelaburan antarabangsa, termasuk daripada diaspora Afghanistan, akan dapat mengelakkan kekurangan dolar Amerika Syarikat di negara itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.