Taliban bertempur bagi rampas wilayah terakhir di Panjshir
Anggota bersenjata anti Taliban di Lembah Panjshir, Afghanistan, berkata pada Jumaat (3 Sep) mereka berjuang untuk menangkis serangan "hebat" dari Taliban yang berusaha untuk menguasai wilayah terakhir yang menentang pemerintahan mereka.
Gerakan Fron Penentangan Nasional (NRF) di Afghanistan (Gambar: AFP/Ahmad Sahel Arman)
KABUL: Anggota bersenjata anti Taliban di Lembah Panjshir, Afghanistan, berkata pada Jumaat (3 Sep) mereka berjuang untuk menangkis serangan "hebat" dari Taliban yang berusaha untuk menguasai wilayah terakhir yang menentang pemerintahan mereka.
Usaha untuk mencapai perjanjian damai antara kedua-dua pihak gagal, dan Taliban ingin menghentikan serangan ketenteraan yang menyaksikan kumpulan itu menguasai seluruh wilayah Afghanistan bulan lalu.
"Taliban mempunyai kelebihan," kata Nishank Motwani, seorang penganalisis Afghanistan di Australia, sambil menambah kemenangan kumpulan itu baru-baru ini menjadikan mereka lebih berani.
"Mereka lengkap bersenjata, dan mempunyai faktor psikologi yang memihak kepada mereka kerana dengan cepat berjaya menjatuhkan pemerintah."
Taliban merampas sejumlah besar senjata dan alat ketenteraan yang diberikan Amerika Syarikat kepada tentera Afghanistan yang kalah. Mereka juga mempunyai sokongan daripada tahanan yang mereka bebaskan dari penjara.
"Taliban juga mempunyai pasukan kejutan, termasuk menggunakan taktik bunuh diri," tambah Encik Motwani.
Anggota Fron Penentangan Nasional (NRF) yang terdiri daripada anggota anti-Taliban dan bekas pasukan keselamatan Afghanistan, difahamkan mempunyai bekalan senjata yang besar di lembah itu, yang terletak sekitar 80 kilometer utara Kabul.
Pada Rabu lalu, pegawai kanan Taliban Amir Khan Muttaqi mengeluarkan pesanan audio bahawa pasukannya sudah mengepung lembah berkenaan, meminta penduduk Panjshir memberitahu pejuang supaya meletakkan senjata.
"Mereka yang mahu berperang, beritahu mereka cukuplah," kata Muttaqi.
Beberapa jam setelah amaran itu, pasukan Taliban melancarkan serangan baru termasuk dari selatan dan barat lembah itu.
Kedua-dua pihak mendakwa telah menyebabkan ramai kematian pada pihak seteru
Namun komunikasi adalah sukar di lembah itu dan AFP tidak dapat mengesahkan laporan-laporan dari lapangan.
Pada Jumaat, Ali Maisam Nazary, jurucakap NRF yang difahamkan berada di luar lembah tetapi berhubung rapat dengan pemimpin utama Ahmad Massoud, berkata lebih banyak serangan telah dilancarkan oleh pasukan Taliban semalaman.
"Terdapat pertempuran sengit di Panjshir," kata Nazary. "(Massoud) sibuk mempertahankan lembah."
Massoud adalah anak kepada komandan gerila Ahmad Shah Massoud, yang digelar "Singa Panjshir" kerana berjaya menentang pasukan Soviet dan kemudian Taliban ketika gerakan itu memegang kuasa sebelum ini.
Beliau difahamkan mahukan kebebasan bagi wilayah itu. Massoud berkata dalam satu kenyataan pada Rabu bahawa Taliban telah menawarkan mereka "satu atau dua kerusi" dalam pemerintahan baru mereka, tetapi beliau telah menolak tawaran itu.
"Taliban telah memilih jalan perang," kata Massoud.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.