Skip to main content

Dunia

Taliban akui larangan wanita bekerja 'isu sosial dalaman'

Anggaran Waktu Membaca:
Taliban akui larangan wanita bekerja 'isu sosial dalaman'

Gambar: Ahmad SAHEL ARMAN / AFP

ISLAMABAD: Taliban menyambut baik ketetapan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat (28 Apr) yang mengakui Afghanistan sedang menghadapi pelbagai cabaran.

Namun, Majlis Keselamatan itu menyifatkan larangan ke atas wanita bekerja sebagai "isu sosial dalaman," menurut Agensi Anadolu.

Kementerian Luar Afghanistan menyatakan pentadbiran Taliban menyambut baik sebahagian daripada ketetapan yang mengesahkan komitmen Majlis Keselamatan terhadap kedaulatan, kemerdekaan, integriti wilayah dan perpaduan negara Afghanistan.

"Pengakuan resolusi bahawa Afghanistan menghadapi pelbagai cabaran dialu-alukan. Larangan ini merupakan urusan sosial dalaman Afghanistan yang tidak memberi kesan kepada negara luar.

"Kami terus komited untuk memastikan semua hak asasi kaum wanita Afghanistan dan menekankan bahawa kepelbagaian mesti dihormati dan bukan dipolitikkan," kata jurucakap kementerian Abdul Qahar Balkhi.

Majlis Keselamatan sebulat suara menerima pakai ketetapan yang mengutuk larangan wanita Afghanistan bekerja untuk PBB di Afghanistan dan menggesa Taliban menukar segera dasar dan amalan yang menyekat kebebasan asasi wanita dan gadis.

Ketetapan itu diusulkan oleh Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Jepun - ahli tidak tetap Majlis - dan disokong oleh lebih 90 negara.

Keputusan Taliban melarang wanita bekerja untuk PBB di Afghanistan, sebagai tambahan kepada sekatan awal yang melarang wanita bekerja untuk pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa dan kebangsaan, akan menjejaskan operasi PBB di negara itu. Ini termasuk penyampaian bantuan menyelamatkan nyawa dan perkhidmatan asas kepada golongan yang paling terjejas.
Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita