Tali barut Nazi berusia 93 tahun dibicarakan di Jerman
Seorang lelaki berusia 93 tahun yang juga bekas pengawal SS dibicarakan pada Khamis (17 Okt) atas dakwaan bersubahat membunuh lebih 5,000 orang awam di kem tahanan Nazi ketika perang dunia kedua.
(Gambar hiasan: AFP/Getty Images/Joe Raedle)
HAMBURG: Seorang lelaki berusia 93 tahun yang juga bekas pengawal SS dibicarakan pada Khamis (17 Okt) atas dakwaan bersubahat membunuh lebih 5,000 orang awam di kem tahanan Nazi ketika perang dunia kedua.
Lelaki yang dikenali pasti oleh media Jerman sebagai Bruno Dey itu didakwa terbabit dengan pembunuhan 5,230 orang ketika bertugas di kem Stutthof berhampiran Gdansk di Poland.
“Sebagai seorang Pengawal SS di kem tahanan Stutthof di antara Ogos 1944 hingga April 1945, dia dipercayai turut bersubahat dalam pembunuhan kejam banduan Yahudi,” kata para pendakwa raya dalam satu kenyataan.
Ketika berkhidmat di kem berkenaan, arahan ‘Langkah Akhir’ untuk menghapuskan orang Yahudi dikeluarkan oleh pihak kepimpinan Nazi termasuk pembunuhan banduan secara sistematik di bilik gas.
Selain itu, banduan-banduan juga mati akibat kebuluran dan tidak mendapat rawatan kesihatan yang sewajarnya, kata pendakwa raya.
Walaupun sudah lanjut usia, Dey akan dibicarakan oleh mahkamah juvana di Hamburg kerana ketika bertugas di Stutthof, dia berusia 17 tahun.
Menurut media tempatan, Dey yang kini menetap di Hamburg pernah menjadi pembuat roti, pemandu lori dan penyelenggara bangunan selepas tamat perang.
Ketika perbicaraan, Dey mendakwa dia hanya berkhidmat dengan SS-Totenkopfsturmbahn (Death’s Head Battalion) yang menguruskan kem berkenaan kerana masalah jantung yang menghalangnya daripada bertugas di medan perang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.