Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tak haram makan roti canai berbentuk ular - Mufti Kelantan

Hukum membeli dan memakan makanan berbentuk haiwan berbisa seperti roti canai ular yang tular baru-baru ini adalah tidak haram, selagi bahan yang digunakan untuk membuat makanan itu adalah daripada sumber yang halal.

Anggaran Waktu Membaca:
Tak haram makan roti canai berbentuk ular - Mufti Kelantan

(Gambar: Daily Makan/Facebook)

Diterbitkan : 10 Jul 2020 09:28PM Dikemas Kini : 10 Jul 2020 09:42PM

KOTA BHARU: Hukum membeli dan memakan makanan berbentuk haiwan berbisa seperti roti canai ular yang tular baru-baru ini adalah tidak haram, selagi bahan yang digunakan untuk membuat makanan itu adalah daripada sumber yang halal.

Mufti Kelantan Mohamad Shukri Mohamad berkata ini kerana tujuan pembelian itu adalah semata-mata untuk dimakan dan bukan untuk diagungkan.

“Kita semua sedia maklum, bahawa kandungan roti canai itu hanyalah tepung gandum sahaja dan ia datang daripada sumber yang halal. Jadi tidak timbul sekalipun isu haram jika memakan roti canai berbentuk ular.

“Bagaimanapun, hukum memakan ular tetap haram kerana ia mengandungi bisa yang akan memudaratkan manusia namun roti canai ular ini cuma menyerupai bentuk sahaja, bukan kandungannya yang memudaratkan manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika diminta mengulas tindakan segelintir masyarakat yang mempersoalkan hukum memakan roti canai berbentuk ular yang tular di media sosial serta aplikasi WhatsApp sejak beberapa hari lalu.

Mufti Mohamad Shukri turut mengingatkan umat Islam agar tiada unsur mempersendakan agama ketika memakan roti canai ular berkenaan.

“Seperti contoh, jika kita minum air kosong namun kita menyamakan air itu dengan arak adalah tidak dibenarkan, sama juga jika memakan roti canai ular ini namun dibanggakan seperti memakan ular yang betul adalah tidak dibenarkan kerana seolah-olah mempermainkan hukum Islam.

“Malah, masyarakat juga diingatkan agar tidak menggembar-gemburkan dan cepat menghukum sesuatu perkara yang tidak pasti. Seboleh-bolehnya pandanglah sesuatu perkara daripada sudut yang lebih positif,” katanya.

Semalam, akhbar melaporkan roti canai ular yang dihasilkan oleh seorang pengusaha roti canai, Che Harun Ali, 46, dari Kampung Kubur Kuda di sini, mendapat sambutan ramai selepas tular di media sosial.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan