Skip to main content

Dunia

Tak berasas Najib tuduh saya samakan Islam dengan kleptokrasi, tegas Kit Siang

Anggota Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang menyelar bekas perdana menteri Malaysia Najib Razak kerana mendakwa beliau menyamakan Islam dengan kleptokrasi dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Tak berasas Najib tuduh saya samakan Islam dengan kleptokrasi, tegas Kit Siang

Pemimpin DAP Lim Kit Siang. (Gambar: Facebook / Lim Kit Siang)

Diterbitkan : 30 Jul 2018 07:31AM Dikemas Kini : 30 Jul 2018 07:32AM

ISKANDAR PUTERI: Anggota Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang menyelar bekas perdana menteri Malaysia Najib Razak kerana mendakwa beliau menyamakan Islam dengan kleptokrasi dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Malaysiakini melaporkan bahawa Encik Lim menyifatkan tuduhan tersebut sebagai 'liar dan tidak berasas'. Beliau juga menegaskan bahawa semua agama mengajar manusia berbuat baik dan berlaku adil, selain membenci rasuah serta 'kleptokrasi'.

Encik Lim turut mempersoalkan mengapa bekas pengerusi BN itu membuat tafsiran sedemikan rupa.

"Saya nak tanya bekas perdana menteri Najib Razak, seberapa rendah tahap diri kamu dengan membuat dakwaan liar, palsu dan tidak berasas bahawa saya menyamakan Islam dengan kleptokrasi.

"Biarlah semua pemimpin UMNO dan PAS menuduh saya menyamakan Islam dengan kleptokrasi supaya rakyat Malaysia akan tahu mengenai keupayaan intelektual dan kegagalan moral mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad (29 Jul), yang ditukil Malaysiakini.

Pemimpin veteran DAP itu berkata rakyat Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama menolak BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana tuduhan rasuah yang menghantui kerajaan pimpinan Encik Najib.

Ini, Menurut Encik Lim, termasuk skandal 1MDB di mana bekas perdana menteri kini disiasat.

"Bolehkah Najib beritahu rakyat Malaysia sama ada skandal 1MDB atau 'kleptokrasi global' di Malaysia sejajar dengan mana-mana ajaran Islam atau mana-mana agama hebat yang lain di Malaysia?" soalnya, seperti ditukil Malaysiakini.

Najib menerusi Facebook pada Sabtu mempersoalkan kenyataan pemimpin veteran DAP itu dengan mendakwa Lim menyamakan Islam dengan kleptokrasi sekiranya BN menang di PRK Sungai Kandis pada 4 Ogos ini.

"Saya tidak faham obsesi Lim terhadap saya sehingga beliau terpaksa mengeluarkan kenyataan setiap hari untuk menyerang saya secara peribadi walaupun saya tidak lagi perdana menteri atau presiden UMNO dan BN.

"Tetapi, kenyataan Lim hari ini tentang saya di mana beliau menyamakan Islam dengan kleptokrasi jika BN menang PRK Sungai Kandis adalah melampaui batas.

"Saya tidak akan dapat menghentikan obsesinya terhadap saya namun Lim tidak patut memperlekeh agama saya dan dijadikan bahan kempen politik," kata Encik Najib.

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita